Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 24, 2011

Happy penaja utama Kelantan (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Teka-teki mengenai pihak mana menjadi penaja terakhir Kelantan akhirnya terjawab apabila syarikat jenama prabayar terkenal, happy menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan pihak happy berlangsung di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), semalam. Pihak Kafa diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Mohamad Noordin Awang sementara happy diwakili oleh Pengurus Besarnya, Roslan Rosli.

Selain happy, sebanyak enam lagi syarikat iaitu akhbar Sinar Harian, Al-Jabbar Group, Yusmira Trading, Alhamra Group, Umbro dan TRW Station turut sama menandatangani perjanjian menjadi penaja bersama pasukan Kelantan dalam majlis tersebut.

Hadir sama dalam majlis menandatangani ‘Program Partnership Utama Kafa–happy dan penaja bersama The Red Warriors 2011’, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Tahun Bola Sepak Kelantan, Datuk Ramzi Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang, ahli-ahli majlis Kafa serta penyokong bola sepak tempatan,

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, pihaknya amat berbesar hati di atas kesudian happy yang bersedia menjadi penaja utama pasukan Kelantan pada musim ini kerana bersesuaian dengan peraturan apabila pasukan bola sepak bagi setiap negeri kini diberi kebebasan untuk mendapatkan penajaan sepenuhnya.

“Kafa dan happy akan menjadi satu penjenamaan yang baru kepada skuad Kelantan pada musim ini. Saya tidak boleh mengumumkan jumlah tajaan sebenar daripada happy, tetapi apa yang boleh saya katakan ianya mencecah jutaan ringgit.

“Penajaan elit ini meliputi kesemua perlawanan pasukan TRW di dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan juga Piala Presiden. Selain daripada itu, penajaan ini juga akan tertumpu kepada usaha untuk merancakkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar happy, Roslan Rosli dalam kenyataan yang diedarkan kepada media berkata, pihak happy berbesar hati kerana diberi peluang bekerjasama dengan Kafa serta pasukan TRW sekali gus dapat bersama-sama meningkatkan prestasi.

“Di bawah perjanjian ini, happy bekerjasama dengan Kafa untuk membawa kemeriahan bola sepak melalui pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sepanjang tahun.

“Pembabitan happy juga dianggap berbeza bukan sekadar menaja pasukan elit, tetapi membabitkan pembangunan bola sepak dalam kalangan remaja di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...