Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 29, 2010

Tekanan memuncak (Harian Metro Online)

TEKANAN kini kian memuncak kepada jurulatih Indonesia, Alfred Riedl untuk mencipta keajaiban dengan mencatatkan kemenangan besar ke atas Malaysia pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF, malam ini.

Jurulatih kelahiran Austria itu kini berdepan dengan tekanan pelbagai pihak untuk mengatasi kelebihan tiga gol yang dimiliki Malaysia. Malah beliau dilaporkan memberikan pelbagai alasan untuk menutup kekalahan di Bukit Jalil pada Ahad lalu.

Selain gangguan sinar laser, Riedl juga menganggap gangguan media tempatan yang melampau sehingga mengganggu tumpuan pemain termasuk terpaksa menghadiri beberapa majlis yang dianggap tidak perlu ketika skuad itu di dalam persiapan akhir menghadapi perlawanan akhir.

Tugas mencipta kemenangan besar di Stadium Gelora Bung Karno itu bagaimanapun semakin mustahil untuk Sang Garuda selepas kehilangan pemain sayap lincah berusia 20 tahun, Oktovianus Maniani yang menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.

Ia ditambah juga dengan kecederaan yang dialami penjaga gol utamanya, Markus Harison Rihihina yang cedera tulang dada kanan namun mungkin tetap diturunkan selain ketiadaan Yongky Ari Bowo di barisan serangan, disahkan tersisih akibat kecederaan.

Riedl bagaimanapun mungkin tidak mempunyai masalah kerana mempunyai dua lagi penjaga gol gantian iaitu Ferry Rotinsulu dan Kurnia Mega yang masih belum beraksi sepanjang kejohanan sekiranya Markus tidak mencapai tahap kecergasan seperti diharapkannya.

Ketiadaan Okto di sayap kiri pula dijangka digalas Arif Suyono manakala Irfan Haarys Bachdim dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Yongky.

“Fokus kami adalah menjaringkan gol pertama untuk membangkitkan semangat pemain dan tidak terlalu menumpukan usaha untuk mencari empat gol bagi menafikan kejayaan Malaysia.

“Peluang kami adalah tipis dan kami akan bermain corak permainan menyerang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...