Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 29, 2010

Tekad Safee (Harian Metro Online)

EMPAT gol yang dijaringkan setakat ini nyata masih belum memuaskan hati penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali.

Malah penyerang berusia 26 tahun berazam mahu meledak lebih banyak gol sekiranya mendapat peluang ketika beraksi di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta malam ini.

“Tumpuan utama adalah untuk mencipta kemenangan buat pasukan dan anugerah sebagai penjaring terbanyak adalah satu bonus kepada diri saya,” katanya.

Dia optimis peluang menjaringkan gol itu akan hadir bagi menutup mulut penyokong fanatik Indonesia di gelanggang mereka sendiri, sekali gus membuktikan dua gol dijaringkannya pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil bukannya sekadar nasib.

Bagaimanapun, Mohd Safee pantas menaruh harapan yang rakan sepasukan lain seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safiq Rahim dapat membuka peluang untuk dirinya terus menghampakan penyokong Indonesia di gelanggang mereka sendiri.

Namun seperti pemain lain, Mohd Safee juga menyedari baki 90 minit adalah tempoh sukar untuk mereka harungi di depan kira-kira 85,000 penyokong fanatik skuad Garuda itu.

“Kami harus berwaspada setiap masa kerana mereka mampu menjaringkan jumlah jaringan besar dalam satu perlawanan seperti ketika menewaskan kita dengan 5-1 dan Laos, 6-0 pada peringkat kumpulan awal bulan ini.

“Selain itu berbanding Malaysia yang dibarisi pemain muda, Indonesia menampilkan pemain berpengalaman yang mungkin dapat mencorak hala tuju perlawanan itu,” katanya.

Dia bagaimanapun menambah ia bukanlah satu kelebihan besar buat Indonesia malah pengalaman berdepan dengan penyokong fanatik di Indonesia dan Vietnam sebelum ini sudah mematangkan pemain kebangsaan.

Mohd Safee bakal dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan sekiranya penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang sudah menjaringkan tiga gol gagal bolosi gawang Malaysia yang dikawal penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena