Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

Penyokong kecewa isu tempat duduk, kawalan keselamatan (Berita Harian Online)

2010/12/28

SELURUH rakyat Malaysia berbangga dengan kemenangan pasukan bola sepak kebangsaan mengalahkan Indonesia 3-0 dalam pertandingan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Syabas dan tahniah diucapkan. Saya adalah antara puluhan ribu penyokong yang hadir di Stadium Nasional dengan harapan besar untuk memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan.

Namun, apa yang mengecewakan adalah tempat duduk disediakan dalam stadium tidak mampu menampung penyokong yang hadir. Ribuan penyokong terpaksa berdiri di laluan masuk ke tempat duduk di seluruh bahagian di stadium kerana kesemua tempat duduk sudah dipenuhi.

Ada juga terpaksa duduk di lantai luar kawasan yang dikhaskan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Berapa banyak tiket yang diperuntukkan sebenarnya untuk perlawanan final dan adakah pihak pengurusan Stadium Nasional tidak membuat perhitungan sewajarnya?

Ada juga pendapat mengatakan demi mengaut keuntungan berganda, pihak pengurusan Stadium Nasional masih menjual tiket pada malam perlawanan walaupun sudah diketahui tidak ada lagi tempat untuk dipenuhi. Adakah dakwaan ini benar?

Pihak pengurusan Stadium Nasional sepatutnya membuat perkiraan sewajarnya dan menjual tiket mengikut jumlah tempat duduk yang boleh dipenuhi. Mereka mungkin tersilap membuat perhitungan dan menyebabkan ribuan penyokong terpaksa duduk di tangga dan kaki lima stadium.

Terdapat banyak kerusi kosong yang menjadi pembahagi antara penyokong Malaysia dan Indonesia yang tidak dipenuhi atas faktor keselamatan. Syukur tidak ada insiden buruk berlaku malam kelmarin.
Bagaimanapun, dengan jumlah penonton yang melebihi kapasiti sebenar stadium, tidak mustahil musibah boleh berlaku. Saya dapati jambatan menghubungkan dua bahagian di Stadium Nasional juga dipenuhi penyokong dan keadaan ini berbahaya.

Pihak pengurusan Stadium Nasional juga gagal memastikan kawalan keselamatan kerana masih ada yang membawa masuk mercun dan bunga api yang hampir mencederakan pemain Malaysia sendiri. Semoga pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya pada masa akan datang.

HANIF MOHSEIN,
Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...