Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 18, 2010

Khairul Fahmi mahu lebih fokus (Utusan Malaysia Online)

SEPANG - Tidak perlu bimbang terhadap ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Nasional My Dinh, apa yang penting adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan, itu janji yang diberikan oleh penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, hari ini.

Penjaga gol Kelantan itu berkata, perlawanan itu bakal memperlihatkan situasi berbeza di mana pasukan tuan rumah sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi, oleh itu dia lebih cenderung untuk memikirkan tentang aksi di padang berbanding di tempat duduk penonton.

"Di Kuala Lumpur kita boleh mengusai hampir keseluruhan permainan terutama separuh masa kedua, bagaimanapun situasi ini mungkin tidak lagi sama apabila beraksi di tempat mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), awal pagi kelmarin.

Jelasnya, semua pemain termasuk dirinya sendiri perlu mempamerkan permainan yang lebih baik berbanding aksi Rabu lalu, apa sahaja kelemahan harus diperbaiki sebaik mungkin agar mencerahkan peluang ke perlawanan akhir.

"Kami perlu berusaha dengan lebih keras lagi, segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini perlu ditutup. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan rangkaian pertahanan dan mereka harus mengekalkan aksi konsisten itu di Hanoi.

"Saya akui memang tekanan sentiasa ada, terutama ketika di peringkat separuh akhir ini, namun semuanya akan memberi kesukaran kepada kita untuk beraksi dengan baik jika asyik memikirkan tekanan sahaja," kata pemain yang terkenal dengan gelaran 'Apek' ini.

Katanya, menjelang perlawanan separuh akhir nanti segala percaturan terletak kepada jurulatih tetapi sebagai pemain semuanya harus bersedia. Harapan yang diberikan oleh rakyat Malaysia memang sangat tinggi dan peluang untuk melakukan sesuatu yang lebih bersejarah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Saya masih ingat lagi pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas sekadar terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dan membiarkan lawan menguasai permainan, jurulatih memberi nasihat di bilik persalinan agar bangkit semula. Ia terus menaikkan semangat kami.

"Pada perlawanan kali ini juga, saya berharap kami mampu melakukan sesuatu dan penyerang akan menjaringkan gol seterusnya mara ke perlawanan akhir," kata penjaga gol pasukan Liga Super Kelantan itu.

Khairul Fahmi merupakan pemain muda terbaik dan penjaga gol terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...