Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, December 27, 2010

85,000 serbu stadium (Metro)

SELEPAS sekian lama ‘menyepi’, Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar wajah apabila lebih 85,000 penyokong pasukan Malaysia dan Indonesia menggamatkan suasana ketika pertemuan akhir pertama kedua-dua pasukan pada saingan Piala AFF.

Sorakan lebih 70,000 penyokong setia tuan rumah nyata dibalas oleh 11 pemain negara yang beraksi di atas padang apabila mereka berjaya menundukkan Indonesia 3-0 sekali gus membalas dendam kekalahan 1-5 di tangan pasukan sama pada saingan peringkat Kumpulan A pada 1 Disember lalu.


Final itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang mendapat sorakan serta tepukan bergemuruk penyokong negara.

Namun, perlawanan semalam berlangsung agak tegang apabila dicemari dengan insiden membaling botol, serta membakar mercun oleh penyokong kedua-dua pasukan selepas pasukan Indonesia membuat bantahan pada separuh masa kedua mendakwa mereka terganggu dengan penggunaan pancaran laser.


Ketika itu, kelihatan penyokong Indonesia terutamanya bertindak liar apabila membaling botol serta membakar mercun sebagai rasa tidak puas dengan insiden berkenaan.


Selepas perlawanan bersambung semula, rentak permainan skuad Indonesia nyata terjejas dan anak buah K Rajagobal mengambil kesempatan itu apabila meledakkan tiga gol berturut-turut dua daripadanya menerusi penyerang berbisa, Safee Sali dan satu disumbangkan oleh Mohamad Ashari Samsudin.

Terdahulu, belum pun permainan bermula, kedua-dua penyokong dilihat bersorak untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing namun sorakan padu penyokong tuan rumah nyata berjaya menenggelamkan kira-kira 15,000 penyokong setia skuad Indonesia.


Kelihatan penyokong setia skuad negara memasang kain rentang antaranya berbunyi ‘tanah tumpahnya darahku dan ‘kembalikan maruah kita’ untuk memberikan sokongan kepada anak buah Rajagobal.

Seperti yang dijangka, sebaik lagu kebangsaan Indonesia dimainkan, penyokong skuad negara melaungkan ‘boo’ sebagai tanda membalas kelakuan penyokong Indonesia yang sebelum ini menghina lagu Negaraku ketika berkumandang di Stadium Gelora Bung Karno pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan 1 Disember lalu.


Gol pertama Safee nyata mengubah rentak permain skuad negara dan ketika perlawanan hampir tamat, penyokong Indonesia dilihat berduyun-duyun keluar dari stadium.


Dengan kemenangan itu, skuad negara kini membawa bekalan selesa sebelum berkunjung ke Jakarta untuk final kedua.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...