Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 13, 2010

Muslim perlu tenang kekang asakan China (Harian Metro Online)

KETENANGAN penting bagi Mohamad Muslim Ahmad yang kini memikul tugas utama mengemudi benteng paling akhir skuad negara.

Ujian pertama ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun berjaya diharunginya selepas ketiadaan kapten Norhafiz Zamani Misbah yang diketepikan kerana kecederaan.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu berjaya membentuk benteng kebal bersama Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar menghalang rempuhan penyerang Jepun.

Hari ini mereka mempunyai satu tugas berat lagi berdepan tuan rumah China pada perlawanan terakhir Kumpulan A sekiranya mahu mengiringi Jepun ke pusingan kedua.

Kedua-dua pasukan berpeluang layak secara automatik tanpa perlu menunggu penentuan empat pasukan terbaik tangga ketiga daripada enam kumpulan.

Namun China dilihat pilihan utama berdasarkan peningkatan semula pasukan itu hasil kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan selepas dikejutkan Jepun 0-3 pada perlawanan pertama.

Malaysia yang tempang tanpa 10 pemain utama, kehilangan Norhafiz dan Fakri Saarani pada perlawanan pertama, lebih kepada pengacau dua pasukan itu. Keupayaan Malaysia sebenarnya masih jauh untuk mencabar.

Biar apapun tanggapan ke atas skuad negara, Muslim tegas mengatakan mereka sudah bersedia fizikal dan mental menghadapi cabaran tuan rumah.

“Sekalipun Stadium Tianhe penuh dengan penyokong mereka, kami tidak sekali-kali gentar. Kami sudah berada di kesempatan untuk layak ke pusingan kedua, mengapa perlu dipersia-siakan.

“Malah semangat rakan sepasukan semakin berkobar untuk memberi tentangan hebat bagi menidakkan cabaran China. Terus terang saya rasakan kita juga berpeluang layak ke pusingan kedua,” katanya.

Muslim juga tidak bimbang dengan gandingan tiga lagi rakan bentengnya kerana mereka semua anggota skuad Harimau Muda.

“Malah saya sudah biasa bergandingan dengan Fadhli di posisi bek tengah. Saya harap kerjasama berpasukan dikekalkan kelak dan berharap kesilapan mudah tidak lagi berlaku. Dua gol mudah Jepun sebenarnya hasil kesilapan benteng,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...