Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

Bukan Safee tapi Norhafiz (Berita Harian Online)

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/11/04

TENGKU  Abdullah (kanan) mendengar penerangan  Rajagobal (kiri) pada  majlis pelancaran jersi baru pasukan kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
TENGKU Abdullah (kanan) mendengar penerangan Rajagobal (kiri) pada majlis pelancaran jersi baru pasukan kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Rajagobal serah lilitan lengan kepada tonggak veteran

TIADA tempat buat penyerang Selangor, Safee Sali ketika K Rajagobal meletakkan kepercayaannya kepada tenaga muda dalam skuad 20 pemain Bawah 23 ke Sukan Asia Guangzhou yang pincang tanpa 10 tonggak akibat kecederaan.

Dalam ketiadaan ketua pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang diketepikan kerana kecederaan lutut Arterior Cruciate Ligament (ACL), tugas mengemudi benteng disandarkan kepada Norhafiz Zamani Misbah yang kembali menyarung lilitan di lengan.
Pertahanan KL Plus berusia 29 tahun itu diiringi dua lagi pemain senior yang dibenarkan, pemain sayap Negeri Sembilan, S Kunalan dan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha.

Rajagobal yang sentiasa mengambil pendekatan jangka panjang, membuat tindakan berani menyenaraikan sembilan pemain Harimau Muda, namun keputusan itu dilakukan memandangkan tonggak – Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Farizal Marlias, Azmi Muslim, Baddrol Bakhtiar, Mat Sabre Abu, Nasriq Baharom dan Zaquan Adha - tidak dapat mengikuti penerbangan ke Guangzhou, juga kerana kecederaan.

Tiga pemain Harimau Muda A yang membantu Malaysia menamatkan penantian emas Sukan SEA selepas 20 tahun - Mohd Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli dan K Gurusamy – diserapkan bersama enam pemain yang menimba pengalaman dengan skuad B-21 di Slovakia.

Penjaga gol terbaik 2010, Khairul Fahmi Che Mat memikul peranan untuk menghalang gawang daripada dibolosi Kyrgyzstan, Jepun dan China, bersama-sama Zamir yang mengisi kekosongan Sharbinee dan Farizal.

“Secara jujur Zamani tidak berada dalam perancangan, tetapi kecederaan adalah sesuatu yang tidak mungkin dielakkan,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan untuk Sukan Asia dan Piala AFF di Wisma FAM, semalam.

Jersi baru yang masih mengekalkan belang harimau kuning hitam tajaan Nike itu, dilancarkan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan mula dijual di pasaran 8 November ini.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah berkata, badan induk itu kini dalam proses perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai perancangan mewujudkan akademi bola sepak dengan lokasinya sudah dikenal pasti di Pahang.

“Kementerian berkongsi peranan dengan FAM dalam pembangunan bola sepak. Sebarang program seharusnya tidak bersifat ad-hoc dan perlu mengambil tempoh 10 hingga 20 tahun,” katanya.

Pemain
Khairul Fahmi Che Mat, Muhammad Zamir Selamat, Norhafiz Zamani Misbah (kapt), Mohd Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, K Gurusamy, S Kunalan, Safiq Rahim, Amar Rohidan, S Chanturu, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, Fandi Othman, Gary Steven Robbat, Fadhli Shas, Ashaari Shamsuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakhri Saarani, Faizal Abu Bakar, Izzaq Faris Ramlan, Mohd Faizal Muhammad

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena