Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, October 26, 2010

Tak rela menyerah (Utusan Malaysia Online)

SEREMBAN - "Akanku genggam Piala Malaysia sampai 'hancur', menyerahkannya tidak sekali-kali. Selagi wisel belum ditiup pengadil, Negeri Sembilan akan mempertahankan piala keramat ini daripada rasukan Kelantan."

Itu ikrar bintang skuad Hoben Jang Hoben, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengenai pertemuan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukil Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Kata Aidil, jangan harap piala yang menjadi kemegahan dan dinantikan Negeri Sembilan 61 tahun yang lalu itu boleh diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.

"Kita akan mempertahankan piala keramat dari melepasi Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita akan pastikan piala itu terus bertakhta di negeri ini untuk kali kedua dan menjadi kebanggaan seluruh peminat dan rakyat negeri ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Aidil, yang bermain di posisi pertahanan dan menjadi 'benteng' bersama Shukor Adan, juga akan memastikan bola yang dirembat pemain Kelantan terus ditambat, agar tidak melorong masuk ke dalam gawang.

"Tempoh 10 minit permainan di babak akhir ini amat penting. Kalau Negeri Sembilan, menerima padah di babak itu, saya bimbang semangat pemain akan luntur.

"Tetapi, saya yakin semangat meluap di kalangan rakan sepasukan akan terus membara sehingga ke babak wisel penamat.

"Hoben Jang Hoben akan melaung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan sejarah akan kembali melakar dalam catatan kejayaan juara Piala Malaysia," kata Aidil.

Apa pun katanya, mempertahankan kejuaraan lebih sukar berbanding Kelantan, yang memang memburu kejuaraan.

"Kelantan lebih kepada misi membalas dendam selepas kecundang beberapa kali untuk menjulang piala ini. Kita yang berhadapan tekanan dan semua itu akan diatasi sebaik mungkin di atas padang," ujarnya.

Justeru katanya, adalah penting semangat pasukan ini menjadi keutamaan dan kesilapan dalam aksi lampau dijadikan panduan untuk terus kekal hebat di persada bola sepak tanah air.

"Abdul Halim Zainal dan Tengku Qayyum Abdullah Tengku Ahmad mungkin pertama kali beraksi dalam perlawanan akhir ini, tetapi saya percaya kedua-duanya mempunyai kredibeliti untuk membawa pasukan ini menjulang piala keramat itu," jelasnya.

Apa yang penting, Aidil berkata pasukannya akan mencari gol awal dan mengelak daripada penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, yang direhatkan akibat kecederaan dan pembedahan lutut kirinya berkata, jika dibenarkan bermain, pasti dia akan turun berlatin bersama-sama rakan yang lain.

"Buat rakan-rakan, hadapilah perlawanan akhir ini dengan membawa azam menjulang Piala Malaysia untuk kali kedua berturut-turut. Saya sedih kerana tidak dapat bersama dan yakin kita akan menjuarainya.

"Jangan lepaskan peluang terbaik ini selepas begitu gigih membawa pasukan ke peringkat akhir. Hadapi Kelantan dengan aksi waras dan versetail.

"Ketepikan tekanan kerana kita yang akan mempertahankan kejuaraan ini. Ingat, selagi wisel belum ditiupkan, selagi itulah kita akan terus merembat ke gawang Kelantan," ujar Mohd. Zaquan.

Katanya, pemain skuad Hoben Jang Hoben perlu juga melihat perlawanan akhir ini seperti aksi pertemuan semasa peringkat kumpulan, mahupun perlawanan persahabatan bagi mengelakkan rasa tertekan dan pada masa yang sama tidak mencacatkan tumpuan memburu kejuaraan Piala Malaysia.

Mohd. Zaquan kini direhatkan selama enam bulan dan mengikuti latihan fisioterapi di Wisma FAM akibat pembedahan selepas kecederaan pada lutut yang dialaminya, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...