Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 16, 2010

Selangor, Kelantan menghadap FAM Selasa ini (Utusan Malaysia)

PETALING JAYA - Nasib Selangor dan Kelantan ekoran insiden 'perang penyokong' mereka pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu, bakal ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selasa ini.

Hukuman berat seperti didenda dan digantung perlawanan berikutnya, menanti mana-mana pihak yang didapati bersalah oleh jawatankuasa berkenaan yang pengerusinya bakal diambil alih sementara oleh Datuk Omar Othman di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pengerusi jawatankuasa, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, bagi mengelakkan kemungkinan pertindihan kepentingan dalam mesyuarat itu, beliau dan Afandi Hamzah menyerahkan keputusan kepada Datuk Omar selaku pengerusi sementara.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM, merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sementara Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu, Afandi masih menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Pegawai atau wakil kedua-dua persatuan dan pasukan berkenaan juga bakal dipanggil memberikan keterangan malah kami akan mendengar laporan polis berhubung insiden itu dan keterangan pihak pengurusan stadium mengenai nilai kerosakan akibatnya," katanya di Wisma FAM, semalam.

Mengenai perancangan Liga Malaysia 2011, katanya, jawatankuasa yang memperhalusi hasil sumbang saran pelbagai pihak di Shah Alam, akhir bulan lalu memutuskan supaya memberi peluang kepada setiap pasukan untuk bermain sebelah petang atau malam.

"Atas alasan mengelak pertembungan dengan siaran langsung Liga Perdana England dan kos pengelolaan serta memikirkan kehadiran penonton, sepak mula musim depan ialah sama ada pukul 5 petang atau 8.45 malam di Semenanjung) dan 4.15 petang atau 8 malam di Sabah dan Sarawak.

"Hari perlawanan Liga M juga dirombak bagi musim depan dan ditetapkan pada Isnin dan Jumaat bagi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia; Rabu dan Ahad (Liga Perdana), Sabtu (Piala Presiden) dan Ahad (Piala FAM)," katanya.

Jelasnya, jawatankuasa yang diketuai Afandi yang terdiri daripada empat atau lima pasukan pemantau, akan mengadakan pemeriksaan gelanggang bagi menentukan kesesuaian perlawanan, selepas tarikh tutup pendaftaran pasukan Liga M 2011 pada 1 November ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...