Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 16, 2010

Selangor hampa (Harian Metro)

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my
2010/10/16

BUAT musim kedua berturut-turut, Selangor gagal melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dan malam tadi, anak buah ketua jurulatih K Devan itu tumbang 3-0 di tangan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.

Ternyata skuad yang muncul juara Liga Super dan Piala Sumbangsih 2010 itu gagal membuang badi suku akhir selepas musim lalu, Selangor juga gagal melangkah ke separuh akhir selepas ditundukkan Terengganu menerusi penentuan penalti.

Norfarhan Mohamad menjaringkan gol pertama tuan rumah hasil rembatan kencang daripada dalam kotak penalti pada minit ke-13 manakala Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang pernah bermain untuk skuad Gergasi Merah musim lalu, meledakkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-24.

Selangor yang mengimpikan untuk menjulang gelaran Piala Malaysia buat kali ke-33 dan kali terakhir mengucup piala paling berprestij itu pada 2005, jarang sekali berpeluang mengasak kubu pertahanan Kelantan sebaliknya skuad tuan rumah yang ternyata cukup garang di tempat sendiri itu menguasai sepenuhnya 45 minit pertama permainan.

Kebangkitan yang cuba direalisasikan Selangor pada babak kedua sambil diselangi beberapa percubaan bahaya juga gagal menghasilkan gol dan Kelantan yang mendapat sokongan padu peminat tempatan, terus bertahan hinggalah Mohd Badhri Radzi melengkapkan kemenangan menerusi jaringan menarik pada minit ke-79 sekali gus menutup terus sisa-sisa perjuangan Selangor.

Malam ini, tiga lagi perlawanan suku akhir akan dijalankan, membabitkan pertemuan di antara Perlis dan Negeri Sembilan di Stadium Utama Negeri, Kangar, Pahang bertemu Johor FC di Stadium Darul Makmur manakala Kedah akan melayan kunjungan Terengganu di Stadium Darul Aman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...