Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 30, 2010

Red Warriors terbayang gelaran (Sinar Harian)



KOTA BHARU – Di sebalik perang psikologi yang dilancarkan oleh Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan terhadap pasukan Kelantan, Ketua Jurulatih, B Sathianathan tampak tidak berminat menyerang balas, sebaliknya fokus beliau kini lebih tertumpu kepada persiapan terakhir menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia, malam ini.

“Kita datang ke Bukit Jalil untuk menjadi juara. Saya tidak berminat untuk bercakap tentang nombor dua (naib juara). Saya sudah meluap angka nombor dua. Tiba masanya kita bergelar juara.

“Segala persiapan berjalan dengan lancar bagi menghadapi perlawanan malam ini. Memang kita kehilangan Azizi (Matt Rose) dan S Subramaniam tetapi itu tidak menjadi masalah kepada kita. Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) kurang cergas kerana mengalami kecederaan tetapi tetap bersedia diturunkan.

“Tumpuan saya terhadap perlawanan malam ini. Tugas saya belum selesai selagi kita tidak menjulang piala malam ini. Saya perlu menghadiahkan kejuaraan ini kepada rakyat Kelantan ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke ibu negara pagi semalam.

Ditanya mengenai kekuatan pasukan lawan, Sathianathan berkata, beliau tidak melihat mengapa pasukan Negeri Sembilan harus turun sebagai pasukan underdog dalam perlawanan malam ini.

“Saya tidak nampak mengapa Negeri Sembilan harus turun sebagai underdog. Mereka adalah pasukan pilihan kerana pernah bergelar juara Piala Malaysia musim lalu dan juara Piala FA musim ini. Jadi sudah pasti mereka adalah pasukan yang hebat. Jadi tidak ada tekanan kepada kita.

“Saya menghormati keupayaan barisan pemain mereka seperti Rezal (Zambery Yahya), Idris (Karim), Shukor (Adan) malahan mereka ada Mohd Aidil Zafuan (Abdul Razak) di bahagian pertahanan. Saya fikir mereka sebuah pasukan yang kuat tetapi itu tidak bermakna kita perlu merendah diri.

Sementara itu, Sathianathan turut mengagumi jati diri penyokong Kelantan yang sanggup melakukan apa sahaja demi maruah bola sepak negeri itu.

“Saya dengar ada yang sanggup gadai motosikal, ada yang tak cukup duit semata-mata hendak ke Bukit Jalil. Bukannya dekat Bukit Jalil dari Kota Bharu berbanding hanya setengah jam sahaja dari Seremban. Saya fikir mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan Kelantan dapat menang piala malam ini.

“Dulu mereka cakap kepada saya ‘kita hendak ke Bukit Jalil’ dan sekarang mereka cakap pula ‘kita hendak jadi juara’ pula. Sebagai jurulatih berpengalaman, saya menghormati dan mengkagumi sikap penyokong Kelantan.

“Cuma satu sahaja pesanan saya, kalau betul-betul sayangkan Kelantan, jangan calarkan nama baik sebagai penyokong Kelantan. Tolong jaga disiplin dan tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...