Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, October 19, 2010

Peluang menjadi juara Piala Malaysia sama rata buat empat pasukan (Utusan Malaysia Online)

ARKIB : 18/10/2010

TUMBANGNYA Selangor kepada Kelantan bermakna persaingan merebut kejuaraan Piala Malaysia dilihat begitu seimbang di antara empat pasukan yang berjaya meneruskan perjuangan di separuh akhir.

Kini, jaguh Pantai Timur, Kelantan bakal meneruskan impian dalam mengecap kejuaraan pertama Piala Malaysia, namun skuad Hijau Kuning, Kedah bakal menyediakan laluan berduri buat anak-anak buah B. Sathianathan menjelang pertemuan pertama separuh akhir pertama pada Rabu ini di Stadium Darul Aman.

Biarpun atas kertas, ramai melihat Kelantan sebagai pasukan pilihan berbanding Kedah, jangan sesekali lupa Red Warriors sebenarnya masih gagal mengatasi Kedah dalam empat pertemuan mereka pada musim ini, iaitu dua perlawanan di Liga Super, dua di Piala FA.

Rekod jelas memihak kepada Kedah dengan satu kemenangan dan jika diamati, hanya tiga jaringan yang berjaya dihasilkan dalam empat perlawanan lalu. Apa yang pasti, kedua-dua pasukan akan tampil dengan corak permainan berhati-hati.

Namun, kehebatan prestasi bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang semakin mengganas di hadapan pintu gol lawan dengan enam gol dalam kempen Piala Malaysia pasti menggerunkan barisan pertahanan Kedah.

Jangan dilupakan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Nor Farhan Muhammad di samping kehadiran Hairuddin Omar, Kelantan boleh dianggap mempunyai barisan penggempur paling sempurna berbanding tiga pasukan lain.

Kedah yang ditunjangi ramai pemain muda berkaliber, juga harus dihormati kerana mereka sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat kalah mati sebagaimana dibuktikan ketika beraksi di perlawanan akhir Piala FA berdepan Negeri Sembilan.

Walaupun mempunyai prestasi yang disifatkan agak yo-yo, skuad Kenari tetap dianggap sebagai salah satu pasukan elit di kancah Liga Malaysia berdasarkan rekod baik pada kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff yang terus mendapat tekanan daripada penyokong Kedah yang masih dibuai mimpi indah menjuarai 'treble' pada musim 2007 dan 2008, perlu segera mencari ramuan mujarab dalam melumpuhkan kekuatan Kelantan terutamanya di bahagian tengah yang menjadi pusat kekuatan Red Warriors.

Satu lagi separuh akhir akan mempertemukan dua wakil selatan tanah air iaitu antara juara Piala FA, Negeri Sembilan dan pasukan berstatus kelab, Johor FC.

Skuad Hoben Jang Hoben yang seolah-olah kembali menemui rentak di Piala Malaysia selepas prestasi hambar di Liga Super sudah tentu makin bersemangat dalam usaha mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Ketiadaan Zaquan Adha Abdul Radzak tidak menggusarkan Wan Jamak Wan Hassan kerana ayam tambatan terbarunya, Abdul Halim Zainal akan memegang kunci kejayaan Negeri Sembilan di Piala Malaysia.

Adik kepada dua bekas pemain kebangsaan iaitu Khairil Zainal dan Faizal Zainal itu menjadi kekuatan 'Si Rusa' di samping beberapa pemain pengalaman lain seperti Idris Karim, Rezal Zambery Yahya dan Mohd. Shukor Adan.

Bagi skuad Lebah, kejayaan mara ke separuh akhir sebenarnya boleh dianggap satu pencapaian cukup baik kerana mereka tidak pernah mara sejauh ini di pertandingan Piala Malaysia.

Johor FC layak dilabel sebagai underdog berbanding Negeri Sembilan dan beraksi tanpa sebarang tekanan boleh memberikan kelebihan buat anak-anak buah Azuan Zain untuk mencipta sejarah selaku pasukan kelab kedua menjuarai Piala Malaysia selepas MBPJ pada tahun 2004.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena