Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 30, 2010

Kekal momentum hadapi Kelantan (Kosmo Online)


MOHAMAD (kanan) beramah mesra dengan para pemain Negeri Sembilan di hotel Klana Resort di Seremban semalam.


“MAIN dalam final, main untuk menang.” Itu amanat dan pesanan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Utama Mohamad Hassan buat skuad Negeri Sembilan yang akan menentang Kelantan pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Katanya, selepas berjaya mengharungi saingan peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir hingga layak ke pentas final, skuad Hoben Jang Hoben harus mengekalkan momentum sedia ada.

“Semua pemain diingatkan agar mengekalkan momentum, sekali gus menjulang Piala Malaysia untuk dua kali berturut-turut.

“Dalam perlawanan final, kita hanya ada satu misi iaitu menang. Kita bukan lagi bermain dalam peringkat kumpulan atau suku akhir yang mana ada perlawa- nan seterusnya tetapi kita bermain dalam aksi final.

“Walaupun ramai yang beranggapan Kelantan pasukan pilihan seperti tahun lalu, saya yakin dan percaya pasukan Negeri Sembilan mampu untuk melakukan yang terbaik kerana harapan peminat, penyokong dan seluruh rakyat negeri ini adalah tinggi,” kata Mohamad pada majlis Misi Mempertahankan Piala Malaysia bersama skuad Hoben Jang Hoben di hotel Klana Resort di Seremban semalam.

Tegas beliau, semua pemain harus memberi fokus pada permainan dan tidak memberi ruang dan peluang kepada pasukan lawan yang boleh memadamkan impian skuad Hoben Jang Hoben.

“Pemain harus mengawal dan mengagalkan sebarang cubaan pihak lawan kerana Kelantan ada beberapa pemain bermain corak pantas yang harus diberi perhatian,” jelas Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Begitupun, beliau menasihatkan pemain agar tidak berasa tertekan dalam misi mereka mempertahankan Piala Malaysia musim ini.

“Jangan rasa panik, lagi pun kita dah biasa bermain dengan Kelantan dan rekod pertemuan dengan Kelantan adalah memi- hak kepada kita.

“Malah Negeri Sembilan juga menang ke atas Kelantan ketika bermain di Kota Bharu dalam peringkat kumpulan.

“Ikut cakap jurulatih (Wan Jamak wan Hassan), jangan rasa rendah diri sebab saya melihat kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama di final. Saya pasti saudara semua (pemain-pemain) boleh lakukan yang terbaik,” jelas Mohamad.

Beliau turut mengingatkan barisan pemain Negeri Sembilan agar tidak ‘mengkhianati’ kawan, peminat, keluarga dan diri mereka sendiri apabila tampil di pentas final nanti.

“Jangan jadi pengkhianat, bermain dengan baik dan saya optimis barisan pemain yang sedia ada ini adalah pejuang untuk mengharumkan nama negeri.

“Mereka juga dinasihatkan agar jaga tatatertib dan disiplin. Kalau diapi-apikan penyokong Kelantan, buat tak faham saja,” ujarnya.

Mohamad turut memohon maaf kepada penyokong Negeri Sembilan yang gagal mendapat tiket final disebabkan ia laris dalam tempoh dua hari dan menyifatkan perkara itu di luar jangkaan PBNS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena