Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, November 1, 2010

Kehilangan Aidil punca Negeri Sembilan kecundang (Utusan Malaysia Online)



PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan berpelukan di tengah padang sebagai meraikan kejayaan bersejarah merangkul Piala Malaysia manakala dua pemain Negeri Sembilan tunduk kecewa selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Kehilangan bek tengah yang juga ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan kegagalan dua pemain muda menunaikan harapan tinggi, dirumuskan sebagai faktor utama tersungkurnya Negeri Sembilan dalam mempertahankan Piala Malaysia musim ini, semalam.

Tanpa menyembunyikan kecewa namun akur dengan kemampuan Kelantan menyambar kesempatan tersebut, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Aliff Samsuddin dan Qhairul Anwar Roslani tidak dapat bermain seperti prestasi terbaik mereka sebelumnya.

"Prestasi Negeri Sembilan kali ini tidak seperti perlawanan akhir tahun lalu terutama apabila barisan pertahanan goyah setelah Aidil Zafuan tercedera lalu kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh Kelantan dalam babak kedua," katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dimenangi lawan 2-1.

"Perlawanan ini jelas menunjukkan dua pemain muda harapan kami tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka tetapi saya tetap memuji aksi keseluruhannya kerana kami masih mampu mara hingga ke perlawanan akhir di sebalik pelbagai masalah yang melanda khususnya kecederaan tonggak," katanya.

Gol kemenangan Badri Radzi yang menyusuli tandukan penyamaan Hairuddin Omar sekali gus menenggelamkan jaringan penalti Shahurain Abu Samah itu turut meranapkan harapan dan impian Wan Jamak mencipta rekod dalam kariernya dengan membawa Si Rusa merangkul gelaran berganda selepas menjulang Piala FA, April lalu.

Malah setelah kehilangan penyerang Zaquan Adha Radzak sejak Ogos lalu kerana kecederaan lutut, kehampaan jurulatih Negeri Sembilan itu akibat terkeluarnya abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak pada pertengahan permainan, pasti dikongsi jurulatih negara, K. Rajagobal dalam menyediakan pasukan ke Sukan Asia, bulan depan.

Negeri Sembilan juga sebenarnya mampu beroleh satu lagi gol sekiranya tonggak depan seniornya, Idris Karim mampu menyudahkan peluang depan gol dengan satu tolakan kaki yang lebih deras untuk menghampakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang hanya bersendirian pada babak pertama.

Namun Wan Jamak wajar turut berbangga dengan sumbangan sayap kanannya, S. Kunanlan yang banyak menggerakkan serangan Si Rusa dan mencipta lorongan tepat dan membuat larian yang menghuru-harakan kubu Kelantan untuk menyokong penyerang bidan terjun mereka, Shahurain dan Idris.

Tidak keterlaluan jika anak jati Semenyih ini sebenarnya mampu dijulang sebagai wira mahupun pemain terbaik jika Negeri Sembilan yang mengulangi kejayaan memiliki piala berprestij bola sepak negara dalam edisi ke-44 perlawanan akhir ini seperti ketika mereka menang 3-1, tahun lalu.

Namun corak pantas dan kemantapan pada semua bahagian turut memainkan peranan dalam kejayaan gilang-gemilang dan bersejarah Wira Merah ini selain sokongan padu ribuan penyokong mereka dan gaya kepimpinan tersendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena