Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, October 22, 2010

Johor FC enggan berasa selesa (Berita Harian Online)

Oleh Rizar Mohd Noor
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/22

 PEMAIN Negeri Sembilan,  Muhd Shukor Adan  (tengah)  dihalang pemain  Johor FC dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di  Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
PEMAIN Negeri Sembilan, Muhd Shukor Adan (tengah) dihalang pemain Johor FC dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Azuan tetap dengan pendirian betapa pasukannya masih belum selamat

PENTAS final Piala Malaysia semakin menggamit Johor FC selepas menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan namun pembimbing skuad bertaraf kelab, Azuan Zain tetap dengan pendirian betapa pasukannya masih belum selamat.

Tatkala aksi separuh akhir kedua di Stadium JCorp, Pasir Gudang, akan bersambung malam esok, pengendali yang diberi tugas untuk kempen piala berprestij itu belum mempunyai perancangan khusus bagi menghadapi 90 minit aksi seterusnya.

Jaringan tunggal Mohd Ezaidy Md Khadar pada minit terakhir perlawanan menjulang Johor FC untuk bekalan bermakna apabila beraksi di laman sendiri selepas terpaksa ‘berkampung’ di kawasan sendiri dengan corak bertahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Namun dalam sibuk bertahan, malah terpaksa meletakkan sehingga sembilan pemain di kawasan sendiri, tuah jelas menjadi milik Azuan kerana berjaya menghukum keghairahan tuan rumah.

“Sebaik Reezal (Zambery Yahya) dikeluarkan akibat kecederaan di babak pertama, saya sedikit lega kerana Negeri Sembilan kehilangan penggerak utama dan kesempatan itu digunakan untuk menutup ruang di tengah.

“Saya juga terpaksa menurunkan Eddy Helmi Manan dan Mohd Khairul Ismail bagi mengimbangi kekuatan Negeri Sembilan walaupun mereka masih cedera. Ternyata taktik 3-4-3 ketika menyerang dan 4-5-1 ketika bertahan menyukarkan lawan,” katanya.
Apapun, Azuan tidak mahu anak buahnya terbawa-bawa dengan kemenangan tipis itu kerana sedar mereka masih berdepan tugas rumit kerana Eddy Helmi dan Mohd Khairul belum cergas sepenuhnya dan tidak pasti dapat digunakan apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan malam esok.

Sementara itu, Setiausaha Johor FC, Mohd Tahir Hamdan mengesahkan perlawanan separuh akhir kedua membabitkan Johor FC-Negeri Sembilan tetap berlangsung di Stadium JCorp, Pasir Gudang tanpa sebarang perubahan gelanggang.

“Pada awalnya, pengurusan Johor FC ingin memindahkan gelanggang perlawanan ke Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin yang mampu memuatkan lebih 20,000 penonton namun keadaan tidak mengizinkan kerana stadium berkenaan sedang diperbaiki.

“Stadium JCorp di Pasir Gudang hanya mampu memuatkan 10,000 penonton tetapi kami akan cuba mengehadkan kehadiran penonton bagi mengelak kesesakan, selain tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini,” kata Mohd Tahir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...