Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 20, 2010

Akmal sedia gempur pertahanan Kedah (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Enam gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini sudah cukup membuktikan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kembali mencapai prestasi kemuncaknya, biarpun pada awal musim ramai pihak yang mempertikaikan penampilan beliau bersama Kelantan yang diibaratkan sebagai penumpang.

Malam ini, Akmal Rizal sekali lagi bersedia menjadi ‘duri dalam daging’ bagi menghadapi negeri kelahirannya, Kedah dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

“Perasaan saya cukup gembira kerana akhirnya Kelantan berpeluang bertemu dengan negeri kelahiran saya, Kedah dalam peringkat separuh akhir. Begitu pun saya menyedari laluan sukar menanti Kelantan apabila bertemu dengan Kedah di Alor Setar nanti.

“Apabila menyarung jersi Kelantan, sudah pasti tanggungjawab saya terhadap majikan saya (Kelantan) biarpun terpaksa menentang negeri kelahiran sendiri. Saya akan membuktikan kepada peminat Kedah bahawa sentuhan saya masih lagi berbisa.

“Apa yang penting, saya akan menunjukkan aksi terbaik bagi membantu Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini. Sebagai penyerang utama, tanggungjawab besar tergalas dibahu saya untuk menjaringkan gol. Saya berjanji akan berikan persembahan yang terbaik pada perlawanan malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum bertolak ke Alor Setar semalam.

Ketika tumpuan peminat Kedah sendiri pasti terarah kepada aksi beliau di stadium yang pernah mengangkat nama beliau sebagai pemain bola sepak profesional, Akmal Rizal mengakui sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan penyokong negeri kelahirannya malam ini.

“Soal kritikan dan sebagainya merupakan satu kebiasaan bagi saya sejak berkelana bermain dengan pasukan lain empat tahun yang lalu. Tidak menjadi masalah besar kepada saya.

“Ketika bermain dengan Selangor dan KM Naza dahulu pun saya biasa menerima kritikan daripada peminat Kedah sendiri. Begitu pun masih ada peminat yang menyanjung saya. Saya melihat perkara tersebut sesuatu yang positif yang saya untuk meningkatkan prestasi saya,” katanya.

Akmal juga turut berpesan kepada para penyokong Kelantan yang berkunjung ke Alor Setar malam ini untuk menjaga tingkah laku dan disiplin sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini.

“Kepada peminat setia Kelantan yang berkunjung di Stadium Darul Aman malam ini, saya berharap mereka semua menjaga nama baik sebagai penyokong Kelantan. Tunjukkan kita mempunyai disiplin yang baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada peminat Kelantan yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena