Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 23, 2010

Selangor ghairah buru Piala FA (Utusan Malaysia)


Pemain Selangor, Mohd. Bunyamin Umar (tengah) bersaing dengan pemain Pos Malaysia, P. Puaneswaren dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu. Selangor berjaya ke separuh akhir.


KUALA LUMPUR – Gergasi merah kuning, Selangor semakin teruja dan ghairah dalam memburu kejuaraan kedua musim ini dengan menjadikan Piala FA sebagai sasaran terbaru.

Setelah meraih Piala Sumbangsih pada awal musim, jurulatih Selangor, K. Devan mengakui pasukan bimbingannya kali ini cukup konsisten dalam tiap perlawanan, malah mempamerkan aksi yang ternyata lebih baik berbanding musim lalu.

Tanpa mahu merendahkan kemampuan pasukan lain, Devan menjangkakan skuadnya mampu mengatasi pencapaian 2009 dengan menggondol kejuaraan ‘treble’ berdasarkan prestasi menggalakkan Selangor pada masa kini.

‘‘Musim ini kehadiran beberapa pemain baru banyak mengubah persembahan Selangor kerana mereka menambah kualiti di dalam skuad Selangor dan saya tidak perlu risau sekiranya terdapat barisan utama mengalami kecederaan kerana aksi pemain simpanan juga tidak kurang hebatnya.

‘‘Kini, kami hanya selangkah lagi ke perlawanan akhir Piala FA dan halangan buat Selangor ialah Negeri Sembilan sebelum melengkapkan pemburuan piala kedua kami musim ini,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Selangor berjaya meraih dua kejuaraan pada musim lalu, Liga Super dan Piala FA, namun hampa di dalam pertandingan Piala Malaysia apabila gagal menewaskan Terengganu di peringkat suku akhir.

Enam muka baru telah dibawa masuk oleh Devan bagi mengharungi cabaran 2010, di antaranya ialah Liew Kit Kong, Farderin Kadir, Bunyamin Umar, Safiq Rahim, Azrine Efendy Saduddin dan Mohd. Iqbal Suhaimi.

Mereka akan berentap dengan pasukan Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama Piala FA, 30 Mac ini di Stadium Shah Alam sebelum bertandang kali kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 3 April ini.

Namun, Devan tidak mahu merendahkan kemampuan Negeri Sembilan yang diterajui Wan Jamak Wan Hassan kerana berpendapat pasukan itu mempunyai gaya permainan berpasukan yang cukup baik.

‘‘Negeri Sembilan bukan mudah untuk dijinakkan, saya mungkin terpaksa merangka strategi tertentu agar dapat mengunci mereka daripada bermain mengikut apa yang dirancangkan oleh Wan Jamak.

‘‘Terus terang, saya tidak akan ambil mudah ketika bertemu Negeri Sembilan. Saya akan arahkan para pemain memberikan tumpuan lebih 100 peratus supaya misi kita menjulang Piala FA tidak terjejas,’’ jelasnya.

Walaupun skuadnya terpaksa menghadapi kelab Maldives, Victory SC pada 24 Mac ini dalam Kejohanan Piala AFC, Devan tidak cepat melatah kerana yakin pemainnya telah bersedia memberikan terbaik untuk beraksi dua kali dalam seminggu.

‘‘Mungkin keutamaan saya akan letakkan kepada kejohanan tempatan namun itu tidak bermakna pemain akan bermain sambil lewa dalam Piala AFC. Mereka tetap mahu menang dalam kedua-dua perlawanan ini,’’ katanya.

Ditanya mengenai kecederaan pemain, Devan memberitahu, dua pemain, Farderin dan Liew Kit Kong terpaksa direhatkan dalam tempoh beberapa minggu.

‘‘Farderin perlu berehat sekurang-kurangnya dalam tempoh empat minggu sementara Kit Kong baru mengalami kecederaan buku lali dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat bagi masa dua minggu,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...