Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 10, 2010

Real berdepan tekanan (Berita Harian)

MADRID: Dengan sejumlah lebih 250 juta euro (RM1.25 bilion) dibelanjakan musim panas lalu dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan akhir meletakkan Real Madrid di bawah tekanan hebat untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Bagaimanapun, pemegang rekod juara sembilan kali Eropah itu terlebih dulu perlu bangkit untuk menafikan wakil Perancis, Lyon yang tiba di San Bernabeu untuk menghadapi perlawanan penentuan peringkat 16 terakhir hari ini dengan kelebihan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama.

Real sukar disekat dalam saingan liga dengan memenangi semua 13 perlawanan di gelanggang sendiri tetapi di peringkat Eropah, dominasi mereka tidak begitu menyerlah selepas tewas 3-2 kepada AC Milan di tempat sendiri dalam saingan peringkat kumpulan manakala Liverpool dan Juventus juga menang di Madrid, musim lalu.

Rekod bersih Lyon dalam perlawanan pertama cukup penting kerana satu gol akan memerlukan Real menjaringkan tiga gol bagi memastikan kemaraan ke final di Stadium Bernabeu, 22 Mei ini.

“Kami sudah bersedia untuk bangkit mengatasi Lyon,” kata Guti, yang pernah menjulang kejuaraan Liga Juara sebanyak tiga kali bersama Real.

“Jika mereka mendapat gol, pasti menjadi rumit untuk kami tetapi dengan pemain baru yang dibeli, kami perlu memberikan yang terbaik untuk melangkah.

“Pasti menjadi satu kegagalan besar jika tidak dapat melangkah ke peringkat kalah mati apabila berdepan pasukan seperti Lyon yang bagus tetapi tidak sehebat pasukan gergasi Eropah lain.”

Lyon yang menduduki tangga ketiga domestik, mungkin tidak sehebat Real tetapi mereka bukanlah muka baru dalam saingan Liga Juara dan pernah membenam Real dalam kempen yang sama di peringkat suku akhir pada 2005 dan 2006.

“Ia hanyalah satu perlawanan 11 pemain melawan 11 pemain dan kami tidak bimbangkan dengan pemain bertaraf bintang mereka,” kata ketua pasukan Lyon dari Brazil, Cris.

Real agak mengecewakan di peringkat Eropah sejak beberapa musim kebelakangan apabila gagal melangkah ke suku akhir sejak 2004 dan jurulatih, Manuel Pellegrini tertekan untuk meletakkan pasukan itu kembali di kelompok elit Eropah terutama selepas berbelanja besar musim panas lalu.

Pellegrini yang pernah membimbing Villarreal ke separuh akhir pada 2006, kehilangan khidmat pemain tengah Xabi Alonso yang digantung perlawanan, membuka pintu untuk bekas pemain Lyon, Mahamadou Diarra, Esteban Granero dan Rafael van der Vaart untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...