Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 23, 2010

Ancelotti akui Manchester United miliki kelebihan (Utusan Malaysia)

BLACKBURN, England - Carlo Ancelotti mengakui Chelsea telah memberikan kelebihan kepada Manchester United dalam perebutan takhta kejuaraan Liga Perdana England selepas melihat skuad bimbingannya seri 1-1 dengan Blackburn.

Dengan hanya mampu meraih satu mata di Ewood Park, ia merupakan satu kegagalan buat Chelsea yang ketinggalan empat mata di belakang United serta berada di tangga ketiga.

Ancelotti menyalahkan pemainnya selepas melihat El-Hadji Diouf memadam kelebihan awal Chelsea melalui jaringan penyamaan pada minit ke-70. Keputusan itu sukar diterima oleh Ancelotti selepas melihat The Blues tersingkir dari Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Inter Milan.

''Kami bermula dengan baik dan menjaringkan gol awal. Kemudian, kami turut berpeluang menggandakan kelebihan jaringan, namun pada separuh masa kedua ia amat sukar.

''Blackburn banyak memenangi penguasaan bola pada separuh masa kedua dan kami hilang rentak sebelum melepaskan gol kepada mereka.

''Kami kembali bangkit untuk bermain namun ia sudah terlambat dan saya cukup sedih. Kami telah terlepas dua mata berharga.

''Saya tidak tahu jika pemain masih terjejas ekoran kekalahan kepada Inter. Kami cuba untuk menang dan melupakan kekalahan kepada Inter. Pada jam pertama, kami bermain cukup baik, namun keputusan ini bukan perkara yang mudah untuk diterima.

''Sekarang ini, cukup sukar buat kami memenangi kejuaraan namun ia tidak mustahil. Kami masih belum hilang keyakinan dan harapan.

''United kini berada di tangga teratas dan kami perlu melupakan apa yang berlaku hari ini secepat mungkin,'' kata Ancelotti.

Namun, Chelsea boleh merapatkan jurang dengan United kepada satu mata jika menang ke atas Portsmouth, esok dan Ancelotti tanpa ragu-ragu yakin anak-anak buahnya mampu mencatat kejayaan ke atas kelab tercorot itu di Fratton Park.

''Kami perlu menang mulai saat sekarang, itu sahaja jalan penyelesaian untuk mara ke hadapan. Terlalu sukar untuk saya jelaskan mengapa ini boleh berlaku namun saya perlu kembali memberi fokus dalam perlawanan seterusnya.

''Satu pasukan perlu bekerjasama supaya memudahkan Chelsea sentiasa mengekori rapat United. Saya tidak tahu berapa banyak mata yang kami perlukan untuk muncul sebagai juara namun kami wajib menang ke atas Portsmouth,'' ujarnya.

Berbeza dengan Ancelotti, pengurus Blackburn, Sam Allardyce begitu gembira dengan cara pemainnya mengecewakan lawan mereka dan memuji persembahan pemain remaja di bahagian pertahanan, Phil Jones yang membuat kemunculan pertama bersama kelab.

''Saya berasakan kami berhak meraih sesuatu pada penghujung permainan. Persembahan kami pada separuh masa kedua cukup baik untuk memberikan kami gol penyamaan. Ia adalah minggu yang besar kepada kami dan ini adalah permulaan yang baik.

''Ramai menjangkakan Chelsea akan menang untuk memudahkan laluan mereka meraih kejuaraan liga. Namun, Chelsea gagal mengambil kesempatan dan kami berjaya bangkit kembali.

''Kemunculan pertama Phil turut memberi kesan dalam perlawanan ini. Satu pasukan telah memberikan segala-galanya tetapi dia merupakan pemain yang paling cemerlang dan nampaknya dia mempunyai masa depan yang sungguh cerah.

''Dia menunjukkan komitmen yang tinggi dan kami berasa begitu gembira. Kami pernah melihat dia bermain tahun ini dan dia telah membuktikan dia amat berpotensi. Dalam perlawanan besar, dia berasakan inilah masanya untuk menunjukkan bakat sebenar dan dia berjaya mengambil kesempatan tersebut.

Drgoba memberikan pendahuluan buat Chelsea seawal minit keenam setelah menerima hantaran silang Nicolas Anelka tetapi Diouf menyamakan kedudukan melalui tandukan, hasil gerakan Michel Salgado pada minit ke-70.

Blackburn dijangka dapat mengatasi zon penyingkiran dan Allardyce yakin pasukannya mampu bertahan di Liga Perdana Inggeris jika meneruskan aksi yang ditunjukkan seperti bertemu Chelsea. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...