Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 2, 2010

Sabah pertaruh gandingan Rosdin-Mafry (Utusan Malaysia)

KOTA KINABALU - Jurulatih Sabah, Gary Philips yakin kombinasi Rosdin Wasli dan Mafry Balang, mampu menguatkan barisan tengah pasukan itu menjelang perlawanan pertama Piala FA menentang Kedah, hari ini.

Jurulatih dari Australia itu berkata, jika percaturan tersebut menjadi, beliau tidak nampak mengapa skuad Badak tidak mampu menyaingi pasukan Liga Super itu dalam perlawanan di Stadium Likas.

''Barisan pemain tengah kami bersikap terlalu 'lembut' sebelum ini.

''Apabila bertemu Kedah nanti, kami memerlukan pemain yang mantap untuk merancang strategi permainan.

''Saya memikirkan untuk menggunakan gandingan pemain senior seperti Rosdin dan Mafry," katanya di sini, semalam.

Menurut Gary, dia juga menyandarkan harapan Zainizam Marjan dapat mengemudi jentera serangan selepas prestasi cemerlang ketika menewaskan MP Johor pada perlawanan Liga Perdana, minggu lalu.

''Saya mengharapkan Zainizam dapat beraksi esok, kerana dalam perlawanan Liga Perdana lalu, dia hanya beraksi pada separuh masa kedua, kerana masih belum cergas sepenuhnya.

''Apa pun, saya perlu melihat sama ada mahu menggunakan Zainizam di bahagian tengah atau sebagai penyerang," ujarnya.

Beliau menjangkakan perlawanan hari ini sengit, memandangkan ia merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan musim ini.

Sehubungan itu, katanya pemain perlu mengetepikan sikap bersahaja dalam padang, sebaliknya harus lebih agresif, jika mahu dihormati oleh pasukan lawan.

Katanya, meskipun misi sebenar Sabah musim ini adalah untuk kembali ke Liga Super musim depan, tetapi pemain juga perlu menumpu perhatian dalam saingan Piala FA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...