Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 2, 2010

Pahang tidak gentar status Felda pendahulu Liga Perdana (Utusan Malaysia)


KUALA LUMPUR - Pahang mahu mendapatkan bekalan selesa apabila berdepan Felda United pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di gelanggang keramat mereka, Stadium Darul Makmur, hari ini.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata tidak gentar dengan reputasi Felda sebagai pendahulu Liga Perdana.

Malah yakin anak-anak buahnya mampu mencipta sesuatu dalam pertemuan pertama itu nanti.

Namun, apa yang membimbangkannya ialah corak persembahan anak-anak buahnya sendiri, walaupun semenjak kebelakangan ini semakin menunjukkan peningkatan.

''Ya, memang benar mereka berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi dan tidak pernah kenal erti putus asa, tetapi masih ada beberapa kesilapan yang saya rasa masih perlu diperbaiki.

''Kelemahan paling ketara ialah mereka gemar bertahan selepas menjaringkan gol pendahuluan, ia memberikan ruang kepada pihak lawan untuk mengasak.

''Situasi itu bukan bermakna mereka tidak yakin dengan kemampuan sendiri, cuma mereka terlalu memberikan tumpuan untuk mendapatkan tiga mata sehingga hampir memakan diri sendiri,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Oleh sebab demikian, sebelum turun dalam perlawanan hari ini, Dollah mengingatkan pemainnya agar jangan mengulangi aksi yang sama.

''Saya mahu mereka masih bermain seperti biasa dan kekalkan corak menyerang walaupun mendahului perlawanan, supaya kita boleh mendapat kemenangan yang selesa malam ini sekurang-kurangnya 2-0,'' katanya.

Mengulas kekuatan Felda, beliau memberitahu para pemainnya tidak memberikan perhatian khusus kepada mana-mana pemain, kecuali Fathurazi Rozi yang dianggapnya cukup berbahaya ketika ini.

''Dia mungkin akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan Pahang dalam perlawanan malam ini,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih Felda, E.Elavarasan, mengakui tidak tertekan menjelang pertemuan dengan Pahang, malah lebih selesa melabelkan pasukannya sebagai underdog.

''Saya rasa tekanan lebih kepada tuan rumah, kerana mahu mendapatkan bekalan selesa, di samping mahu mengelakkan gawang mereka daripada dibolosi.

''Jika dapatkan keputusan seri sudah cukup baik, namun kalau menang, saya anggap ia bonus kepada kami,'' ujarnya.

Dia juga memberitahu akan melakukan pertukaran dua atau tiga pemain untuk melakukan perubahan taktikal dan menjaga kecergasan pemain, kerana terpaksa bermain dua kali dalam seminggu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena