Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 15, 2010

Mancini puji Bridge, Terry kian tersisih (Utusan Malaysia)


Aksi pemain Manchester City, Wayne Bridge (tengah), yang teman wanitanya dilapor mempunyai hubungan sulit dengan John Terry, mendapat pujian jurulatih City, Roberto Mancini. Perlawanan menentang Stoke City pada Piala FA di Stadium Manchester itu turut disaksikan oleh jurulatih England, Fabio Capello. - AFP


MANCHESTER - Ketika John Terry berdepan saat getir dalam karier, akibat masalah peribadi, Wayne Bridge pula bangkit dengan mengetepikan isu skandal Terry dengan bekas teman wanitanya.

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memuji persembahan Bridge selepas pemain pertahanan itu mempamer aksi menarik, ketika pasukannya seri 1-1 pada perlawanan Piala FA dengan Stoke, kelmarin di depan jurulatih England Fabio Capello.

Bolton Wanderers turut seri 1-1 ketika berdepan Tottenham Hotspur di Stadium Reebok semalam, selepas Tom Huddlestone gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk pasukan pelawat.

Bolton mendahului perlawanan menerusi jaringan Kevin Davies pada minit ke-34.

Spurs bangkit pada babak kedua apabila Defoe menjaringkan gol pada minit ke-61.

Perlawanan melibatkan City paling mencuri tumpuan dengan aksi Bridge, iaitu individu di tengah-tengah perhatian media selepas tuduhan bekas teman wanitanya mempunyai hubungan dengan John Terry.

Kecederaan serius yang dialami oleh Ashley Cole, yang mungkin tidak dapat beraksi pada Piala Dunia, bermakna Bridge bakal menjadi pilihan utama Capello.

Bridge baru sahaja dapat bermain semula akibat masalah pergelangan kaki namun, Mancini kagum dengan persembahan pemain itu.

Katanya: "Wayne bermain sangat baik. Saya rasa Wayne sentiasa meningkat. Dia bermain amat baik, dia perlu berlatih dan beraksi, dia akan meningkat.

"Saya rasa Bridge seorang pemain yang bagus dan dia boleh bermain dengan pasukan kebangsaan tetapi adalah penting dia sentiasa meningkat.

"Dia pemain England, pasukan kebangsaan cukup penting baginya.

"Saya rasa bagi Wayne pasukan kebangsaan adalah penting, itu pendapat saya.''

Mancini kecewa kerana terpaksa mengharungi perlawanan ulangan di Stadium Britannia Rabu depan, namun dia menegaskan bahawa pasukannya mampu bersatu semula untuk perlawanan menentang Stoke dalam Liga Perdana, esok.

Katanya: ''Saya tidak kecewa, saya simpati dengan pemain kerana mereka bermain sangat baik.

"Namun, saya rasa perlawanan esok pastinya perlawanan berbeza, sudah pasti.

''Kami perlu bermain dan menang jika mahu menaikkan kedudukan dalam liga, dan mara ke pusingan seterusnya dalam Piala FA.''

Wright-Phillips menjaringkan gol untuk City, sebelum Ricardo Fuller menyamakan kedudukan dan Mancini merasakan pemain sayap itu meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, Wright-Phillips akan diturunkan secara konsisten jika dia mempamerkan prestasi permainan yang sama.

Katanya: "Ketika saya mula-mula tiba di sini, Shaun mengalami masalah kecederaan selama 10 hari selepas dua atau tiga perlawanan.

''Namun, jika dia beraksi seperti menentang Stoke, dia boleh kerap bermain.''

Carlos Tevez tidak beraksi pada perlawanan pusingan kelima Piala FA kerana pulang ke Argentina, menyambut kelahiran anaknya.

Mancini mengesahkan pemain penyerang itu juga tidak akan diturunkan apabila menentang Stoke esok, namun berharap Craig Bellamy dapat beraksi semula.

Tambahnya: "Saya harap Carlos akan balik ke sini dalam masa tiga hari. Saya tidak fikir dia boleh beraksi esok. Saya harap dapat membawa semula Craig, namun ia agak sukar.''

Sementara itu, Tony Pulis berdepan masalah kecederaan Matthew Etherington, Liam Lawrence dan Andy Wilkinson yang cedera dan kesemuanya belum pasti beraksi esok.

Etherington menjalani ujian imbasan kerana masalah lutut, Lawrence pula cedera pergelangan kaki, sama seperti Wilkinson.

Namun, Pulis gembira dengan semangat pemainnya apabila terus memberikan cabaran dalam Liga Perdana.

"Kami tidak memiliki pemain berbakat seperti mana Manchester City, tetapi usaha dan komitmen akan membawa anda mara lebih jauh," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...