Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 16, 2010

Liga M tetap perlukan pemain import (Utusan Malaysia)

KUANTAN – Sejauh manakah kemasukan jurulatih dan pemain import dapat membantu mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara?

Ini kerana, isu yang mendapat pelbagai reaksi daripada jurulatih sehingga ke badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekali lagi dibangkitkan oleh jurulatih luar, yang membimbing skuad bola sepak tempatan.

Kali ini, perkara itu dibangkitkan oleh jurulatih Sabah, Gary Micheal Philips, yang berasal dari Australia dan telah membimbing beberapa kelab di negaranya dan negara luar seperti Vietnam.

Bagi banyak pihak, mutu dan kualiti bola sepak tempatan ketika ini dikatakan lebih rendah berbanding negara lain, sehingga gagal menarik penonton ke stadium.

Namun, di sebalik suara sumbang itu, ramai pula mula membuka mata terhadap potensi sukan No. 1 itu selepas kejayaan skuad Bawah 23 membawa pulang emas Sukan SEA Laos XXV.

Justeru, bagi Gary, sukan bola sepak tempatan bukan setakat memerlukan ‘sentuhan’ jurulatih luar, tetapi juga pemain import, untuk pemain tempatan mempelajari teknik dan taktik permainan bola sepak moden.

Melalui pendedahan demi pendedahan kata beliau, ia bakal membantu pemain tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dengan lebih berkeyakinan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan mengenai keperluan negara untuk mencungkil bakat pemain bola sepak seawal usia 10 tahun, yang bukan hanya tertumpu kepada satu-satu kawasan, tetapi dibuat secara menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan sukan tersebut.

“Sebagai contoh, kita lihat pasukan Barcelona dan beberapa kelab utama bola sepak dunia lain yang mempunyai barisan pemain pelapis yang diasuh sejak kecil lagi.

‘‘Pemain-pemain ini akan terus dibimbing sehingga mereka mencecah usia dewasa, seterusnya mewakili kelab terbabit,” katanya kelmarin.

Beliau ditemui selepas perlawanan Liga Perdana antara Sabah menentang Shahzan Muda, baru-baru ini.

Menurut Gary, kedatangan jurulatih dan pemain import dalam kancah sukan bola sepak Malaysia seharusnya disambut baik kerana ia bakal memberi banyak manfaat untuk pembangunan sukan tersebut pada masa hadapan.

Dalam soal ini, beliau mengambil contoh kerajaan Australia melahirkan ramai pemain bertaraf dunia dengan kira-kira 100 hingga 150 pemainnya kini bermain di beberapa kelab ternama.

“Malaysia pula bagaimana?, berapa ramai pemain Malaysia yang beraksi dengan kelab-kelab luar negara?.

“Justeru, seseorang perlu memikirkan tentang masa depan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan Sabah mendapat tiga mata penuh selepas menundukkan anak didik Tajudin Nor, Gary masih tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya memandangkan sasaran Sabah untuk berada di kedudukan empat teratas liga.

“Kami menguasai permainan tetapi pemain yang kebanyakannya masih muda banyak mempersia-siakan peluang.

‘‘Mereka juga kurang stamina dan lebih banyak latihan perlu dilakukan selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...