Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, February 19, 2010

Klose jaring gol kontroversi Bayern (Utusan Malaysia)

MUNICH- Bayern Munich mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Fiorentina pada perlawanan pertama, pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Gol kemenangan Bayern diperoleh menerusi jaringan kontroversi Miroslav Klose, sekali gus menyaksikan gergasi Jerman itu mencatat 13 kemenangan berturut-turut.

Klose meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-89, selepas menerima hantaran jarak jauh daripada pemain Belanda, Arjen Robben. Bagaimanapun, tayangan video menunjukkan penyerang Jerman itu berada pada kedudukan ofsaid ketika melakukan jaringan tersebut.

Skuad Bundesliga itu akan bertandang ke Florence pada 9 Mac ini dan Fiorentina hanya memerlukan satu gol berharga bagi membalas kembali jaringan yang disifatkan sebagai satu kesilapan.

Klose ketika ditemui selepas perlawanan tersebut berkata: ''Saya tidak melihat rakaman itu lagi tetapi saya dapat rasakan yang saya berada dalam kedudukan ofsaid.''

Sementara itu, jurulatih Bayern, Louis van Gaal pula memberitahu, dia memahami reaksi berang pasukan Itali itu apabila gol menerobos gawang.

''Ya, gol itu memang ofsaid. Saya juga akan marah tetapi saya fikir pengadil berada dalam situasi yang sukar,'' katanya.

Jurulatih itu turut memuji Fiorentina yang sebelum ini dikatakan akan kalah sebelum perlawanan kerana tewas dalam lima perlawanan terakhir Serie A.

''Secara teknikal mereka bermain baik. Kami mendominasi larian dan menyerang menerusi hantaran jarak jauh. Fiorentina jelas tidak mempunyai peluang tetapi masih mampu menjaringkan gol dan itu mengecewakan kami,'' katanya.

Presiden Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengakui pasukannya itu bertuah kerana jaringan yang dilakukan Klose sememangnya ofsaid. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...