Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 23, 2010

Chelsea sentiasa punya tempat istimewa di hati saya - Mourinho (Utusan Malaysia)


JOSE Mourinho bakal bertemu dengan bekas pasukan bimbingannya, Chelsea dalam saingan bola sepak Liga Juara-Juara, esok. - AFP


LONDON - Perasaan 'cinta' Mourinho terhadap kelab lamanya, Chelsea bakal teruji esok apabila dia bersedia untuk menyingkirkan pendahulu Liga Perdana England itu dalam saingan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah.

Mourinho yang pernah membantu Chelsea merangkul dua kejuaraan liga berturut-turut pada 2005 dan 2006 akan membawa pasukan barunya, Inter Milan berdepan gergasi bola sepak England itu di San Siro dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik.

Walaupun berulang kali menyatakan rasa sayangnya terhadap kelab barat London itu, namun Mourinho cuba membuang perasaan tersebut, esok.

Itu kerana, sebab utama dia berada di Inter adalah untuk menamatkan kegagalan 45 tahun kelab Itali itu di pentas Eropah.

"Chelsea sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Saya sebahagian daripada sejarah Chelsea, dan mereka sebahagian daripada saya,'' ujar Mourinho.

Kali terakhir Inter merangkul kejuaraan Eropah adalah pada 1965 manakala Chelsea merupakan naib juara pada dua musim terakhir tetapi tidak pernah menjulang gelaran.

Ketika ini, Inter dan Chelsea mendahului saingan liga domestik masing-masing, dan itu menjadikan pertemuan, esok bertambah istimewa.

Inter menerima kunjungan Chelsea selepas seri 0-0 dengan Sampdoria dalam saingan terakhir Serie A, perlawanan di mana anak-anak buah Mourinho menamatkan saingan dengan sembilan pemain selepas Walter Samuel dan Ivan Cordoba dilayangkan kad merah.

Chelsea sebaliknya menang selesa 2-0 ke atas Wolves kelmarin, di mana dua gol mereka disumbangkan penyerang Ivory Coast, Didier Drogba, yang menjaringkan 25 gol sepanjang musim ini.

Drogba bakal menjadi tumpuan utama Mourinho, esok.

"Pada saya, Chelsea bukan lagi rahsia buat saya, jadi tidak sukar untuk membuat persiapan menghadapi mereka.

"Tiada apa yang berubah sejak saya meninggalkan kelab itu. Mereka melakukan persiapan yang sama seperti ketika mereka di bawah saya, mereka menggunakan formasi yang sama, jadi tidak terlalu banyak persiapan untuk saya lakukan,'' ujar jurulatih dari Portugal itu lagi.

Perlawanan tersebut juga bererti Carlo Ancelotti akan kembali ke San Siro buat kali pertama. Dia pernah merangkul kejuaraan Eropah sebagai pemain dan jurulatih AC Milan, kini Ancelotti menjadi pengendali Chelsea.

"Ia pasti menjanjikan pertarungan menarik di Milan kerana Inter dan Chelsea adalah dua pasukan yang hebat.

"Ketika ini, kami berdepan dengan beberapa masalah di bahagian belakang. Ashley Cole dan (Juliano) Belletti terkeluar tetapi kami berharap untuk perlawanan akan datang (Yury) Zhirkov dapat bermain.

"Zhirkov menghadapi masalah di betis dan paha, tetapi dia akan pulih dalam tempoh dua atau tiga hari. (Ricardo) Carvalho akan bersedia untuk pertemuan dengan Milan, begitu juga Frank Lampard dan Alex,'' kata Ancelotti.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, juara bertahan, Barcelona akan berkunjung ke Jerman untuk berdepan Stuttgart hari ini, manakala Bordeaux menentang Olympiakos esok dan CSKA Moscow bertemu Sevilla.

Selepas mengalami kekalahan pertama liga minggu lalu, Barcelona bangkit dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Racing Santander, Sabtu lalu, namun akan berkunjung ke Jerman bersama beberapa masalah kecederaan.

Bintang tengah, Xavi Hernandez dan tonggak pertahanan, Daniel Alves berharap untuk beraksi hari ini selepas pulih daripada kecederaan, manakala Eric Abidal dan Seydou Keita terkeluar, begitu juga Zlatan Ibrahimovic. - AP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...