Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 18, 2010

Chong Wei tawan Terbuka Korea (Utusan Malaysia)ba


aksi Chong Wei merai kejayaannya menumpaskan pemain Denmark, Peter Gade pada perlawanan akhir Terbuka Korea di Seoul, semalam. Chong Wei menang 21-12, 21-11. – AP


KUALA LUMPUR – Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan 34 minit ketika menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Korea, selepas mudah membenam pemain veteran Denmark, Peter Hoeg Gade pada perlawanan akhir, semalam.

Selepas mempamerkan permainan meyakinkan ke atas pemain China, Chen Jin pada perlawanan separuh akhir kelmarin, Chong Wei meneruskan kecemerlangan bagi meraih kejuaraan sulung kejohanan musim ini, dengan kemenangan straight set 21-12, 21-11.

Kejayaan tersebut bakal menyemarakkan lagi impian Chong Wei, 27, untuk terus memburu gelaran apabila turun mempertahankan kejuaraan Siri Super Terbuka Malaysia, di sini bermula Rabu ini.

Chong Wei, yang tidak beraksi pada Sukan SEA XXV di Laos Disember lalu ,akibat kecederaan lutut, awal-awal lagi melaungkan amaran kepada Gade, selepas meninggalkan lawannya itu, 9-2 pada set pertama.

Walaupun cuba bangkit, Gade gagal merapatkan kedudukan mata, dan pada satu ketika tersekat dengan kedudukan 15-6, sebelum Chong Wei memenangi set pertama 21-12.

Menyedari dia tiada pilihan, Gade cuba bangkit pada set kedua dengan mengutip mata awal sehingga meninggalkan Chong Wei 4-2.

Namun, ketinggalan dua mata tidak menghalang semangat pemain negara kelahiran pemain Pulau Pinang itu.

Sokongan padu penyokong yang rata-rata pelajar Malaysia yang menuntut di negara tersebut, ternyata membangkitkan semangat Chong Wei untuk kembali mengejar lawannya, sehingga mengikat kedudukan 4-4.

Mulai detik itu, Chong Wei tidak lagi memandang ke belakang, apabila semakin menjarakkan kedudukan mata ke atas pemain berusia 34 tahun itu 13-4.

Gade cuba bangkit merapatkan kedudukan 15-11, bagaimanapun ia sudah terlambat.

Chong Wei akhirnya dinobat sebagai juara kejohanan apabila memenangi set kedua 21-11, sekali gus mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran kejohanan tersebut.

Sementara itu, China masih menguasai kejohanan itu walaupun tanpa kehadiran bintang utamanya seperti Lin Dan dan Bao Chunlai, apabila merangkul tiga daripada lima gelaran yang dipertandingkan.

Pemain perseorangan wanita mereka, Wang Shixian muncul juara selepas mengenepikan pemain tuan rumah, Sung Ji Hyun 21-10, 25-23.

Bagaimanapun, dendam Korea berbalas dalam saingan beregu lelaki, apabila pilihan utama, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae mengetepikan cabaran pasangan China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-11, 14-21, 21-18.

Selain perseorangan wanita China turut meraih gelaran melalui beregu wanita apabila Cheng Shu-Zhao Yunlei menang ke atas pasangan Jepun, Fuji Mizuki-Kakiiwa Reika 21-16, 21-15

Pasangan He Hanbin-Yu Yang mengetepikan rakan senegara, Tao Jiaming- Zhang Yawen dalam aksi beregu campuran 21-15, 21-16.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...