Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 16, 2010

Chong Wei jumpa Chen Jin (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR - Berseorangan memikul cabaran Malaysia tidak menghalang jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Chong Wei semakin menghampiri sejarah peribadi, menjadi pemain Malaysia pertama menang di Korea, namun laluannya tidak mudah apabila bakal berdepan jaguh China, Chen Jin di separuh akhir hari ini.

Semalam, dia mudah mengetepikan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana 21-14, 21-10 hanya dalam masa 33 minit.

Chen Jin, pilihan ketiga kejohanan juga tidak menghadapi banyak masalah ketika membenam cabaran pemain utama Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-7, 21-19.

Chong Wei bagaimanapun memiliki kelebihan psikologi ke atas Chen Jin apabila menewaskan jaguh China itu 21-15, 22-20 dalam pertemuan terakhir pada separuh akhir Terbuka Indonesia, Jun tahun lalu.

"Terbuka Korea salah satu daripada empat kejuaraan Siri Super yang masih belum pernah saya menangi, jadi saya cuba memenanginya kali ini.

"Menentang Chen Jin tidak mudah, malah pertemuan terakhir kami berlangsung dengan sengit, namun saya melakukan persiapan yang cukup untuk menghadapi kejohanan ini, harap saya dapat melakukan yang terbaik esok,'' kata Chong Wei.

Malaysia menghantar tujuh perseorangan lelaki pada Terbuka Korea, kejohanan termahal dalam kalendar Siri Super yang menawarkan AS$300,000 (RM1.02 juta).

Namun, hanya Chong Wei berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dan kemudian ke separuh akhir.

Kuang Beng Heong tersingkir di pusingan kedua, Tan Cun Seang dan Chong Wei Feng kandas di pusingan pertama, manakala Arif Latif, Liew Daren dan Pei Wei Fung semuanya terkeluar di peringkat kelayakan.

Sementara itu, satu lagi saingan separuh akhir perseorangan lelaki menemukan jaguh Denmark dan penyandang juara, Peter Hoeg Gade dengan dan pemain muda China, Chen Long.

Gade yang menumpaskan Chong Wei ketika menjuarai Terbuka Korea 2009 mara selepas dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pemain tuan rumah, Park Sung Hwa 17-21, 21-16, 22-20.

Chen Long pula tidak perlu turun ke gelanggang untuk melangkah ke separuh akhir selepas diberi kemenangan percuma oleh rakan senegara, Bao Chunlai.

Dalam saingan perseorangan wanita, tiga pemain tuan rumah mendominasi saingan separuh akhir diketuai Sung Ji Hyun yang akan bertemu rakan senegara, Bae Seung Hee, manakala Kim Moon Hi berdepan pemain China, Wang Shixian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...