Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 21, 2010

Annuar: Kekalahan tak jejas misi kami (Kosmo)


AKMAL Rizal (tengah) masih gagal membentuk keserasian dengan penyerang skuad Kelantan yang lain.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) percaya kekalahan pertama skuad Kelantan 0-1 kepada Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin tidak menjejaskan matlamat pasukan itu untuk menjuarai salah satu piala yang dipertandingkan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kekalahan itu dianggapkan sebagai 'pil pahit' yang harus ditelan oleh pemain bagi menghadapi 22 lagi perlawanan Liga Super selepas ini.

Menurutnya, setiap pemain tidak boleh mengambil mudah kekalahan tersebut dan sewajarnya memperkemaskan permainan masing-masing di setiap posisi bagi menghadapi cabaran lebih getir selepas ini.

Katanya, pemain-pemain dinasihatkan bermain dengan penuh semangat serta melupakan segera kekalahan kepada Kedah.

"Malam tadi (kelmarin) kita kalah dengan melepaskan satu 'gol cuai' dan saya menganggap gol tersebut sebagai 'lucu'," katanya pada sidang media di Kota Bharu semalam.

Pada perlawanan tersebut, Kedah memperoleh gol tunggal selepas penjaga gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussein melakukan kesilapan sehingga memberi kesempatan kepada penyerang Kedah, Azlan Ismail menjaringkan gol pada minit ke-41.

Annuar berkata, beliau mengakui kekalahan yang mengaibkan itu juga dirasai oleh penyokong-penyokong setia Kelantan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, KAFA telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terhadap jurulatih dan pemain pasukan itu.

"Selain matlamat, jurulatih dan pemain perlu jelas dengan KPI yang ditetapkan oleh KAFA," ujarnya.

Sementara itu, pengendali Kelantan B. Satiananthan berkata, beliau masih menaruh kepercayaan kepada kredibiliti Syed Adney berdasarkan persembahannya dalam tiga perlawanan sebelum ini walaupun bekas penjaga gol kebangsaan itu melakukan kesilapan sehingga menyebabkan Kelantan tewas kepada Kedah malam kelmarin.

Menurutnya, beliau mengharapkan Syed Adney dapat menunjukkan prestasi sebenar dalam perlawanan lain selepas ini.

"Kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku tetapi saya berharap dia segera melupakannya serta tampil lebih bersemangat," katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu juga mengakui jentera serangan The Red Warriors masih belum serasi berdasarkan kepada empat perlawanan awal sebelum ini.

"Tiga gol yang dihasilkan daripada empat perlawanan setakat ini membuktikan bahawa jentera serangannya masih belum serasi dan saya harap masalah ini akan diatasi segera," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena