Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 28, 2009

Kournikova rindu kejohanan kompetitif (Utusan Malaysia Online)

ARKIB : 27/10/2009



WALAUPUN sudah bersara, Anna Kournikova tetap menyimpan keinginan untuk bermain dalam kejohanan kompetitif, biarpun sibuk melakukan kerja sosial pada masa kini.


KUALA LUMPUR - Selebriti tenis antarabangsa, Anna Kournikova melahirkan rasa rindu unutk beraksi di pentas dunia bagi kejohanan kompetitif dunia, meskipun dia mungkin sudah tidak mampu melakukannya.

Jelitawan dari Rusia itu menyatakan secara umumnya masih tetap menyimpan keinginan untuk bermain di kejohanan kompetitif, biarpun ketika ini sibuk melakukan kerja sosial.

"Secara jelasnya, saya merindui beraksi pada kejohanan kompetitif. Saya tidak mungkin akan melupakan sukan kesayangan ini kerana saya mula bermain sejak berusia lima tahun.

"Saya masih lagi bergelut dengan masalah kecederaan dan ia adalah penyebab utama yang menghalang saya ketika ini. Namun saya gembira dengan pencapaian kerjaya selama ini.

"Selain menjadi model, saya banyak menghabiskan masa dengan mengelilingi dunia bersama beberapa organisasi Amerika Syarikat dalam kerja sosial seperti kempen kesedaran AIDS dan penyakit malaria," kata Kournikova pada sidang akhbar di sini, semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata demikian ketika majlis pelancaran Pertembungan Juara-Juara 2009 (SOC 2009) yang akan menemukan pasukan Asia dengan Rusia.

Kournikova merupakan duta di kejohanan Glam Slam dua hari tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Disember ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Kejohanan tersebut bakal dihiasi dengan kehadiran beberapa pemain ternama dunia seperti Elena Dementieva, Maria Kirilenko, Sania Mirza dan Zheng Jie.

Mengulas lanjut mengenai kesudian menjadi duta kepada kejohanan edisi kali ketiga tersebut, Kournikova berkata, dia mahu menyokong usaha mempromosikan sukan tenis di rantau ini.

Jelasnya, dia mahu kehadirannya bersama pemain ternama lain mampu untuk menarik perhatian orang ramai terutama golongan muda terlibat dalam sukan tenis.

"Sukan tenis mampu untuk memupuk sikap kepimpinan, membentuk disiplin tinggi dan berkerja secara berpasukan.

"Oleh itu, saya berasa sangat gembira dan berbangga untuk berada di sini sebagai duta bagi menyokong kejohanan ini. Saya mahu menarik perhatian orang Asia untuk terlibat dalam sukan tenis.

"Oleh yang demikian, penganjuran kejohanan seperti ini harus dilaksanakan bagi menarik minat ibu bapa dan kanak-kanak terlibat secara langsung," kata Kournikova yang pernah menjadi pemain beregu No. 1 dunia pada tahun 1999.

Ditanya mengenai kehadirannya ke Malaysia, Kournikova berkata, dia menyukai cuaca dan rakyat di negara ini yang peramah serta mudah melemparkan senyuman.

"Saya pastinya akan ke Malaysia selepas ini dan bercuti di sini. Saya ingin bersiar dan pergi ke pantai-pantai yang terdapat di negara ini. Malaysia mempunyai budaya hidup yang hebat, selain masih menggabungkan cara hidup tradisional dan moden," katanya yang turut memuji makanan di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...