Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 28, 2009

Indra, Nizaruddin jadi tumpuan (Utusan Malaysia Online)

ARKIB : 27/10/2009

KOTA BHARU - Perhitungan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Skuad Kijang menentang Singa Utara di Stadium Sultan Muhamad IV malam ini pasti menjadi tumpuan peminat-peminat.

Bagi penyokong, ia bukan setakat pertarungan menegakkan maruah pasukan tetapi ia turut menampilkan pertembungan antara kapten Kelantan, Indra Putra Mahyuddin dengan seterunya, Nizaruddin Yusof.

Gandingan dua penggempur ini pernah membawa pasukan kebangsaan ke perlawanan akhir Sukan SEA edisi ke-21 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum skuad negara tewas kepada Thailand dengan jaringan 0-1.

Bagaimanapun, malam ini, mereka hadir dengan pasukan berbeza yang membawa satu misi iaitu untuk ke pentas akhir Piala Malaysia.

Nizaruddin tampil dengan reputasi 'Kasut Emas' Liga Super musim ini dengan 18 gol yang disumbangkan berjaya membawa Perlis menjadi naib juara kejohanan tersebut.

Ketajaman Indra di pintu gol juga tidak boleh dipertikaikan terutama dengan rekod 14 gol dalam kejohanan sama, berjaya membawa pasukannya menjadi antara yang digeruni.

Sementara itu, dalam kejohanan piala terulung negara pula, kedua pemain ini telah pun berkongsi 15 gol antara mereka dengan Indra menyumbat sembilan.

"Saya tidak nafikan penyokong mungkin akan menilai antara saya dengan Nizaruddin kerana jumlah gol yang telah kami jaringkan.

"Tetapi bagi saya sendiri, ia lebih tertumpu kepada bagaimana pasukan kami bermain dan mencari bekalan yang selesa untuk di bawa ke Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu ini," kata Indra ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Penjaring terbanyak Liga Malaysia ini turut mengingatkan rakan sepasukannya agar memberi tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan tersebut dan tidak terbawa-bawa dengan tekanan.

Separuh akhir hari ini merupakan penampilan pertama skuad Kijang selepas kali terakhir berada di pentas tersebut pada tahun 2000 ketika ditewaskan oleh pasukan Terengganu yang berjaya mendakap piala pada musim itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena