Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, November 15, 2015

Kelantan Buru Enam Pemain Baharu Termasuk Pemain Import Bagi Musim Depan



KOTA BAHARU, 14 Nov (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencari enam pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan The Red Warriors (TRW) menghadapi saingan musim depan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata buat masa kini TRW mempunyai 19 pemain yang akan didaftarkan pada bulan ini.

"Sejumlah 14 pemain musim ini dikekalkan dalam skuad baharu iaitu 12 pemain dalam kontrak dan dua pemain telah menyambung kontrak manakala lima pemain Piala Presiden 2015 telah diberikan kontrak bagi memperkuatkan skuad TRW musim hadapan," katanya menerusi catatan terbaru dalam akaun Facebook miliknya.

Annuar berkata terdapat enam kekosongan lagi bagi mengisi senarai 25 pemain untuk didaftarkan bagi saingan musim hadapan iaitu tiga kekosongan pemain import dan tiga kekosongan pemain tempatan.

Beliau berkata bagi menghadapi saingan musim hadapan, pasukan Kelantan akan melakukan persiapan awal di bawah pengendali dan pengurusan baharu yang akan diketahui tidak lama lagi.

"Kami akan melakukan persiapan daripada sudut pembaharuan kaedah pengurusan, disiplin, corak latihan dan pembaharuan lain yang diperlukan bagi menampilkan TRW sebagai satu pasukan yang kuat pada saingan musim hadapan," katanya.

Pada saingan Liga Super musim ini, Kelantan menamatkan saingan di tangga kesembilan dan buat pertama sejak tujuh tahun lepas, pasukan itu gagal ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2015.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...