Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 20, 2015

Abdul Rahman Beri Bayangan Musim Terakhir Bimbing Terengganu


KUALA TERENGGANU, 19 Jan (Bernama) -- Pengendali pasukan Terengganu Abdul Rahman Ibrahim memberi bayangan musim terakhirnya bersama pasukan berkenaan tahun ini, selepas dua musim membimbing skuad Penyu itu.

Abdul Rahman, 69, anak jati Terengganu yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun membimbing pasukan bola sepak tempatan dan luar negara, dijangka meninggalkan skuad Terengganu pada penghujung musim ini.

Pernah menabur bakti membimbing pasukan kebangsaan dari 1998 hingga 2000, beliau yang enggan mengulas lanjut, berkata hanya masa menentukan kedudukannya pada penghujung musim ini dalam arena bola sepak tempatan.

"Ini mungkin musim terakhir saya, tengoklah keadaan...sudah sampai masa atau macam mana saya akan beritahu. Cuma sekarang, saya hanya mahu fokus kepada pasukan Terengganu dalam mengharungi musim baharu ini," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Mengulas sasaran bagi musim baharu ini, Abdul Rahman berkata sebagai jurulatih, beliau akan berpuas hati sekiranya anak didiknya berjaya mencapai kedudukan dalam kelompok tiga teratas dalam saingan Liga Super.

"Semua pasukan semestinya ingin merangkul piala. Bagaimanapun, kita perlu lihat pada skuad dan negeri lain yang bertanding pada musim ini.

"Sasaran menduduki sekurang-kurangnya di tangga ketiga mungkin lebih realistik dan pastinya pemain akan berusaha keras," katanya.

Untuk rekod, selaku jurulatih Abdul Rahman pernah menjulang Piala Malaysia pada 2006 bersama pasukan Perlis.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...