Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 15, 2014

Kehadiran Annuar Musa Dalam Kafa Dijangka Beri Impak Besar


KOTA BAHARU, 15 Nov (Bernama) -- Kehadiran semula Tan Sri Annuar Musa dalam pimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal memberi perubahan besar kepada skuad The Red Warriors.

Timbalan Presiden Kafa Datuk Seri Affandi Hamzah berkata kehadiran semula Annuar selepas digantung selama dua setengah tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merancakkan lagi pembangunan bola sepak Kelantan.

"Secara jujurnya, kami masih memerlukan Tan Sri untuk terus memimpin Kafa bagi memastikan kegemilangan pasukan Kelantan terus kukuh pada musim akan datang.

"Buktinya, pada Kongres Tahunan Kafa kita sebulat suara telah memilih beliau (Annuar) untuk terus kekal memimpin persatuan bagi sesi 2014 hingga 2018," katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan ke-60 di sini Sabtu.

Pada pemilihan tersebut Annuar menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden manakala Affandi kekal sebagai Timbalan Presiden selepas tidak dicabar.

Jawatan Naib Presiden untuk sesi 2015-2018 menampilkan dua muka baharu iaitu Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan tokoh korporat Datuk Nasir Hamzah manakala Datuk Rosmadi Ismail mengekalkan kedudukannya sebelum ini.

Sementara itu Azman Ibrahim, Azlan Yusof, Datuk Seri Sunny Ung, Datuk Abd Halim Ahmad, Datuk Wan Mohd Najib Wan Mohamad, Mohamad Zolkifli Omar, Mohammad Yusri Ismail, Datuk Mohd Rosdi Abd Aziz, Ruhaled Ab Hamid dan Datuk Abdullah Mat Yasin dipilih untuk menjawat jawatan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Kafa.

Pemilihan bagi jawatan tertinggi Kafa pada kali ini berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang pertandingan.

Mengulas tentang perkara itu, Affandi berkata situasi tersebut membuktikan perpaduan utuh dalam kalangan anggota majlis Kafa yang bekerjasama bagi melihat pasukan Kelantan terus berjaya.

Katanya kehadiran muka baharu dijangka memperkasakan lagi bola sepak Kelantan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...