Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, August 27, 2014

JDT Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2014


KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) menempah tiket awal ke suku akhir Piala Malaysia 2014 apabila mengukuhkan kedudukannya dalam Kumpulan C dengan pungutan 10 mata.

Juara Liga Super 2014 itu mencatat kemenangan bergaya dengan membelasah Pulau Pinang 5-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di Johor, Selasa malam.

Pemain import, Jorge Pereyra Diaz dari Argentina, membuka jaringan seawal minit ketiga buat JDT sebelum seorang lagi pemain import, Luciano Figueroa meledakkan gol kedua selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29.

Mohd Amri Yahyah memberi kedudukan selesa buat JDT selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Figueroa menambah tekanan kepada pasukan Pulau Pinang dengan jaringan keempat pada minit ke-54 dan Harris Harun mengesahkan kemenangan JDT dengan jaringan kelima pada minit ke-83.

Kelantan pula tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu.

'The Red Warriors' membuka jaringan pertama menerusi pemain import, Francis Forkey Doe pada minit ke-42 namun ATM menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain import, Juan Manuel Arostegui pada minit ke-78.

Hairuddin Omar mengesahkan kemenangan ATM dengan jaringan kedua pada minit ke-89.

Pahang pula merampas kedudukan carta Kumpulan A selepas menewaskan FELDA United 2-0 menerusi jaringan pertama oleh R. Gopinathan pada minit ke-65 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pemain import Dickson Nwakaeme mengesahkan kemenangan pasukan 'Tok Gajah' apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura pula menyaksikan pasukan Lions XII dan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) terikat seri 2-2 dalam satu lagi saingan Kumpulan A.

Pasukan kelab Singapura, Lions XII membuka jaringan seawal minit pertama oleh Hafiz Abu Sujad sebelum JDTII menambah tekanan pasukan tuan rumah dengan dua gol oleh Yusof Zainal Abidin Yusoff Zainal, minit ke-10 dan Mohd Akmal Ishak pada minit ke-65.

Faris Ramli menyamakan kedudukan dengan jaringan kedua buat Lions XII selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84.

--BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...