Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 6, 2014

Selangor Hilang Tiga Mata Penuh Akibat Penyudah Yang Lemah - Durakovic


SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic kecewa kerana penyerangnya gagal memanfaat peluang menjaringkan gol ketika menentang Terengganu pada Ahad.

"Sekiranya penyudah kami bagus di hadapan pintu gol Terengganu, kami boleh menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol. ((Penyerang kami), Paolo Rangel dan yang lain bermain baik tetapi tidak dapat menembusi pertahanan Terengganu yang kebal," katanya selepas perlawanan.

Perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan dan kedua-dua pasukan mengumpul 28 mata, namun perbezaan jaringan meletakkan Selangor di tangga kedua Liga Super selepas 14 perlawanan.

Terengganu pula berkongsi 22 mata dengan Sarawak, tetapi menduduki tempat keempat berdasarkan kelebihan jaringan.

Sehubungan itu, beliau mahu penyerang Selangor memperbaiki penyudah mereka dalam baki lapan perlawanan bagi meneruskan pemburuan gelaran juara liga.

Pertahanan Selangor, Rizal Fahmi Rosid yang menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka untuk berada di kedudukan teratas liga.

"Separuh masa kita agak tercari-cari rentak permainan sebelum memperkemaskan semula permainan pada separuh masa kedua. Namun ianya sudah terlambat.

"Sekarang kita tidak boleh melepaskan sebarang mata (dalam baki lapan perlawanan) dan saya yakin pasukan mampu julang kejuaraan Piala Super sekiranya kita beraksi baik di laman sendiri," katanya.

Pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim pula berpuas hati dengan satu mata yang diraih mereka walaupun anak didiknya turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutama pada separuh masa pertama.

"Saya rasa keputusan seri adalah adil untuk kedua-dua pasukan. Saya tidak mahu terlalu pentingkan kedudukan pasukan pada ketika ini tetapi lebih memberikan penekanan kepada prestasi pemain," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...