Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, May 11, 2014

Piala FA: Mohd Fahmy Ambil Sikap Berdiam Diri Berhubung Isu Masuk Kawasan Padang

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya mengambil sikap berdiam diri berhubung tindakan yang bakal diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tindakannya memasuki kawasan padang pada separuh akhir pertama Piala FA, Isnin lepas.

Beliau sebaliknya enggan mengulas mengenai perkara berkenaan walaupun undang-undang FAM memperuntukkan hanya pegawai perlawanan rasmi sahaja yang dibenarkan berada di kawasan padang ketika berlangsungnya sesebuah perlawanan.

"Saya tak ada apa-apa komen berhubung perkara ini (tindakan disiplin daripada FAM)... (Saya harap) media tolong cari isu lain yang lebih penting kepada pembangunan bola sepak tempatan untuk dilaporkan," kata Mohd Fahmy kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya masih belum memutuskan sebarang bentuk tuduhan ke atas Mohd Fahmy memandangkan siasatan awal mengenai insiden berkenaan masih berjalan.

"Setakat ini kita belum membuat sebarang keputusan berhubung isu ini...jika ada apa-apa maklumat nanti, saya akan beritahu media selengkapnya," katanya.

Hamidin berkata siasatan akan dijalankan oleh FAM bagi melihat tindakan Mohd Fahmy yang berada di kawasan padang pada separuh masa kedua perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Mohd Fahmy dilihat bakal berdepan tindakan tegas daripada FAM selepas meluahkan rasa tidak puas hati mengenai mutu pengadilan kepada pesuruhjaya perlawanan, Left Kol (B) Kamarudin Sakhar di kawasan pegawai rasmi perlawanan.

Perlawanan itu berkesudahan seri 1-1 dan separuh akhir kedua Piala FA akan diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 30 Mei ini.

Satu lagi perlawanan separuh akhir kedua antara Felda United dan Kelantan akan berlangsung pada hari berikutnya di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...