Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 14, 2014

ATM 'Tempang' Tanpa Empat Tonggak Utama


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'tempang' menjelang aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok selepas empat tonggak utamanya disahkan cedera.

Mereka ialah penyerang Marlon Alex James yang berdepan masalah kecederaan belakang, pemain pertahanan iaitu K. Reuben dan Amiridzwan Taj Tajuddin (lutut) manakala pemain sayap kanan, Christie Jayaseelan dilaporkan bergelut dengan kecederaan pangkal paha.

"Senarai kecederaan kami semakin panjang dengan Marlon, Reuben, Taj tidak akan diturunkan manakala Christie belum pulih 100 peratus," kata Ketua jurulatih ATM, B. Sathianathan dalam laman web pasukan itu www.atmfa.my.

Pengendali berusia 55 tahun itu bagaimanapun optimis skuad 'The Gladiators' mampu bangkit pada perlawanan esok selepas tewas 1-4 kepada Pahang di Kuantan, minggu lepas.

"Terus terang saya katakan, persembahan kami pada perlawanan lepas adalah yang paling buruk sejak saya mengambil alih sebagai jurulatih ATM (pada 2012).

"Sebelum ini, kami tidak pernah tewas dengan jurang tiga gol, paling banyak pun dua gol. Kali terakhir kami bolos empat gol ialah pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim lepas, yang menyaksikan kami tewas 3-4 (kepada Sime Darby FC).

"Saya menagih persembahan yang lebih baik daripada pemain pada pertemuan menentang Selangor (esok)," kata Sathianathan.

Rekod kedua-dua pasukan menyaksikan ATM menang empat daripada lima pertemuan termasuk kemenangan dramatik 3-2 dalam saingan kumpulan Piala Malaysia musim lepas di Stadium Shah Alam manakala satu lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...