Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 5, 2013

ATM Dan Pahang Tempah Tiket Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir kedua, Jumaat.

Pada perlawanan kedua, pasukan ATM kendalian B. Sathianathan menumpaskan Lions X11 4-1 untuk menang agregat 5-2 selepas ketinggalan 1-0 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lepas.

Penyerang berbisa skuad 'The Gladiators', Marlon Alex James menjadi wira pasukan selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' untuk membawa ATM ke separuh akhir.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, pemain Lions XII, Hariss Harun 'menghadiahkan' gol pertama untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-23.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Marlon yang ditampan oleh Hariss sebelum menuju ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Izwan Mahbud yang gagal menangkap bola dengan kemas sebelum melintasi garisan gol.

Marlon menggandakan kedudukan pada minit ke-33 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Hairuddin Omar sebelum beliau mudah menolak bola masuk untuk menewaskan Mohd Izwan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Lions XII menyamakan kedudukan agregat selepas Muhammad Hafiz Abu Sujad melakukan rembatan kencang kaki kiri yang menerjah penjuru kanan gol ATM pada minit ke-49.

Marlon memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik ATM dengan meledak dua lagi gol bagi menyekat hasrat Lions XII yang merupakan juara Liga Super untuk mara lebih jauh.

ATM bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan, Amirizwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Lions XII, Fazrul Nawaz.

Dalam pada itu, juara dua kali, Pahang turut mengikuti jejak langkah ATM selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Pahang mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-3.

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh yang menumpaskan pasukan tuan rumah 3-2 pada suku akhir pertama, Jumaat lepas, bermula garang dengan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Matias Ruben Conti pada minit ke-28.

Azamuddin Mohd Akil terus menambah duka untuk skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menerusi gol kedua pada minit ke-60 sebelum Muhammad Khairu Azrin Khazali merapatkan jurang jaringan untuk Selangor PKNS FC pada minit ke-65.

ATM dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan yang bakal membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu.

Pahang pula bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir kedua antara Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.

Johor DT mengalahkan Kelantan yang merupakan juara bertahan dengan kemenangan 4-2 pada suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala Sarawak dan Sime Darby FC terikat seri tanpa jaringan di Stadium MPS, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...