Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, April 10, 2013

FAM Setuju Kuota Tiga Pemain Import Musim Depan

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bermula musim depan, setiap pasukan Liga Super dan Liga Perdana boleh mendaftarkan sehingga tiga pemain import berbanding dua pemain musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara berkenaan telah dipersetujui ahli majlis FAM pada mesyuarat exco yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di sini hari Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata pasukan yang berminat perlu mengambil sekurang-kurangnya seorang pemain import dari benua Asia, dan mereka tidak dibenarkan mengambil pemain import yang bermain di posisi penjaga gol.

"Kita sedar mengenai bebanan sesetengah pasukan yang terpaksa mengharungi kejohanan penting seperti Kelantan dan Selangor yang bersaing dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Hamidin berkata ahli exco bersetuju dengan penubuhan sebuah jawatankuasa baharu bagi memastikan Liga-M diswastakan sepenuhnya menjelang 2015. Katanya, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai oleh beberapa individu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran sukan di peringkat kebangsaan termasukh wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN), universiti-universiti tempatan dan sebagainya.

"Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat dengan AFC dalam masa terdekat dan selepas memperolehi kaedah sebenar (mengenai penswastaaan Liga Malaysia), kita akan panjangkan pada mesyuarat exco akan datang untuk dibincangkan di kalangan ahli exco," katanya.

Hamidin berkata banyak manfaat yang boleh diperolehi menerusi penswastaan sesebuah liga seperti perolehan keuntungan yang tinggi serta boleh bergerak dengan lebih bebas selaku liga bola sepak profesional.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata Artikel 88 Statut Perlembagaan FAM yang sering menjadi perdebatan hangat dalam arena bola sepak tempatan akan dibincangkan dengan lebih mendalam pada mesyuarat exco akan datang sebelum di bawa ke Kongres Tahunan FAM ke-49 pada 17 Ogos di sini.

"Kita prihatin dengan perkara ini (Artikel 88) yang banyak dibincangkan di kalangan peminat serta penggiat bola sepak tempatan, maka kita bersetuju untuk membincangkan dengan lebih lanjut," katanya.

Artikel 88 Statut FAM melarang anggotanya termasuk jurulatih dan pemain mengkritik badan induk bola sepak itu melainkan mendapat kebenaran daripada Kongres FAM.

Antara yang menjadi 'mangsa' Artikel 88 ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang didenda sebanyak RM18,000 selain digantung enam bulan oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM pada 8 Mac lepas.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikenakan tindakan di bawah Artikel 88 apabila digantung dua tahun enam bulan dan didenda RM39,000 kerana kesalahannya mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Tahun lepas, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, yang merupakan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, digantung dua setengah tahun kerana melanggar peraturan yang sama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...