Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 19, 2013

ATM Rampas Gelaran Pendahulu Liga Super Daripada Selangor, Menang 2-0

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Selangor selepas mengalahkan pasukan itu 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Gol sumbangan dua pemain import ATM iaitu Bruno Sebastian Martelotto pada minit ke-16 dan Marlon Alex James pada minit ke-89 membolehkan skuad 'The Gladiators' menguasai kedudukan liga dengan mengutip 14 mata selepas tujuh perlawanan.

Terdahulu, pasukan pelawat ditimpa malang selepas pemain mereka Mohd Raimi Mohd Nor dibuang padang kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-82.

Wakil kelab dari Singapura, Lions XII terus mengekori rapat di kedudukan kedua liga walaupun hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika bertemu pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim, di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Dua gol skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu dijaringkan Hariss Harun pada minit keempat dan Baihakki Khaizan pada minit ke-37 manakala Simone Del Nero dan Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing pada minit ke-11 dan 81.

Sementara itu, Kelantan bangkit mencipta kemenangan selepas menundukkan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu menerusi jaringan penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou pada minit ke-32 dan 63.

Pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-80 selepas kapten mereka, Faizal Mohamad, dilayang kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain skuad The Red Warriors, Mohd Zamri Ramli.

Wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS pula hanya mengutip satu mata selepas terikat 2-2 ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.

Dua gol skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu dijaringkan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit keenam serta Fauzan Dzulkifli pada minit ke-26 manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Rashid Mahmud dan Shahurain Abu Samah, masing-masing pada minit kelapan dan 87.

Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd Fazli Baharuddin dilayang kad merah pada minit ke-79 kerana mengasari pemain lawan.

Pahang pula terus dirundung malang selepas kalah 0-1 kepada Perak di Stadium Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut menerusi gol sendiri oleh kapten mereka, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-42.

Sementara itu, T-Team hanya mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan yang berlangsung sebelah petang.

Skuad 'The Titans' bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat oleh Khairul Azuan Jamil seawal minit keempat sebelum Abdul Latif Suhaimi menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...