Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, December 13, 2012

Malaysia Gagal Pertahankan Piala AFF Suzuki, Kalah Kepada Thailand Di Separuh Akhir

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Hajat Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2012 tidak kesampaian selepas mereka kalah secara agregat 1-3 kepada Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, Thailand, Khamis.

Kedua-dua pasukan sebelum ini mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad lepas.

Kekalahan tersebut sekali gus meleburkan rekod skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mempertahankan Piala AFF yang dimenangi pada 2010 di Indonesia.

Thailand yang menggunakan khidmat pembantu jurulatih Mano Polking ekoran penggantungan ketua jurulatih Winfried Schafer nyata unggul dengan menguasai sebahagian besar permainan dengan serangan bertali arus ke kubu skuad kebangsaan.

Nasib malang menimpa skuad Harimau Malaya apabila pengadil perlawanan, Lee Min Hu dari Korea Selatan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-44 kerana bergaduh dengan pemain tengah Thailand, Datsakorn Thonglao.

Bersambung separuh masa kedua, Rajagobal membuat pertukaran dengan mengeluarkan pemain sayap kiri, S. Kunalan dan memasukkan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri pada minit ke-52 untuk menguatkan bahagian tengah.

Kelekaan barisan pertahanan negara kemudian membawa padah apabila penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda membuka tirai jaringan pada minit ke-60 setelah beliau memanfaatkan hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.

Lima minit kemudian, pemain pertahanan Theerathon Butmathan menjaringkan gol kedua untuk skuad 'Changsuk' (Gajah Perang) itu.

Skuad Harimau Malaya berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-81 menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha hasil sepakan percuma kapten pasukan, Safiq Rahim namun ditepis keluar oleh penjaga gol pasukan Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Keputusan tersebut menyaksikan pasukan Thailand yang muncul juara pada 1996, 2000 dan 2002 layak ke perlawanan akhir buat kali kelima.

Skuad bimbingan Winfried Schafer itu akan membuat perhitungan dengan pasukan Singapura pada perlawanan akhir yang akan diadakan secara timbal balik pada 19 dan 22 Dis.

Singapura mara ke perlawanan akhir buat kali keempat semalam selepas menundukkan Filipina, 1-0 secara agregat pada separuh akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Singapura sebelum aksi timbal balik di Thailand.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...