Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, November 26, 2012

Malaysia Diaibkan Singapura 3-0 Aksi Pertama Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia terpaksa menelan pahit setelah diaibkan oleh Singapura 3-0 di gelanggang sendiri pada perlawanan Kumpulan B Kejohanan Bolasepak Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil,Ahad malam.

Kebimbingan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal akhirnya menjadi kenyataan apabila Singapura mendahului 2-0 pada separuh masa hasil jaringan kapten Mohd Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37.

Harimau Malaya, yang dikritik kerana persembahan hambar pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, bagaimanapun bertindak garang sebaik sahaja perlawanan bermula.

Penyerang Norshahrul Idlan Talaha hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-20 namun sepakan beliau melewati pintu gol pasukan Singapura.

Tiga minit kemudian, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim hampir memberikan gol pendahuluan menerusi sepakan percuma namun ia terus ke dakapan penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud.

Kelekaan barisan pertahanan negara dihukum oleh Singapura menerusi jaringan pertama Shahril selepas beliau mendapat lorongan daripada rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Mohd Shahril sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' buat skuad kebangsaan dengan gol kedua, lima minit kemudian menerusi tandukan selepas berlaku keadaan kelam labut di hadapan pintu gol skuad negara.

Tersentak dengan dua gol berkenaan, Rajagobal menggantikan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri dengan Wan Zack Haikal Wan Nor bagi mempertajamkan jentera serangan namun masih gagal menembusi kekebalan pertahanan Singapura yang tinggi lampai seperti Baihakki Khaizan dan Daniel Mark Bennett.

Pemain naturalisasi mereka dari Bosnia, Aleksandar Duric mengesahkan kemenangan pasukan Singapura menerusi gol ketiga pada minit ke-75.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad juara tiga kali itu iaitu pada 1998,2004 dan 2007 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata manakala skuad Harimau Malaya berada di tangga tercorot daripada empat pasukan.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan menentang Laos manakala Singapura akan berhadapan dengan naib juara 2010, Indonesia pada Rabu ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...