Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, November 16, 2012

Johor ikat pemain Itali



IMPIAN skuad bola sepak Johor untuk merangkul kejuaraan sama ada Piala Liga, Piala FA mahu pun Piala Malaysia dilihat semakin membara apabila dikhabarkan bakal mengambil seorang lagi pemain bertaraf dunia, Simone Del Nero (gambar) untuk memperkuatkan benteng pasukan Harimau Selatan itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Del Nero merupakan bekas pemain sayap kelab Seria A Itali, Lazio dan pernah membantu pasukan itu memenangi Piala Itali pada musim 2008.

Pemain kelahiran Carrara, Itali itu memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pemain dengan kelab Empoli (1998-2000), Brescia (2000-2007) dan pernah menyarung jersi Livingston secara pinjaman selama setahun bermula tahun 2001 hingga 2002 dan sempat bersama kelab Palermo (2003). 

Pencapaian terhebatnya ialah apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 Itali tahun bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu tidak pernah dipanggil untuk bermain dengan pasukan kebangsaan negara kelahirannya itu.

Usaha mendapatkan Del Nero disifatkan sebagai pertaruhan terbaik pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas berjaya menambat bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, Getafe CF, Daniel Gonzales Guiza, 32, untuk bersama skuad Johor selama setahun.

Gandingan antara Del Nero dan Guiza disifatkan sebagai satu percaturan paling bijak dan mantap dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, Del Nero akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 2 petang ini.

"Sejurus selepas itu, satu sidang akhbar dan sambutan untuk meraikan kedatangan Del Nero akan diadakan pada pukul 3 petang di Hotel Thistle.

"Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijadualkan turut hadir," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhairi berkata, PBNJ akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini yang akan dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Johor bagi membincangkan isu perpindahan penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo ke pasukan itu musim depan.

"Kami seboleh-bolehnya enggan isu ini berpanjangan dan mahu mengelak salah faham dengan mana-mana pihak, mesyuarat pada Isnin ini akan memutuskan segalanya," tegasnya sambil menyatakan kesungguhan Johor untuk mendapatkan khidmat Mat Yo.

Selain isu tersebut, beliau memberitahu, pihaknya juga akan membincangkan hal-hal berbangkit lain seperti persediaan Harimau Selatan menghadapi Liga Malaysia musim depan termasuk hal penjualan tiket.

Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.

Annuar melalui laman Facebook miliknya baru-baru ini berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor hendaklah mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan PBNJ.

Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena