Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, September 11, 2012

Kemelut tidak berkesudahan

Wartawan Sinar Harian
11 September 2012
Kemelut tidak berkesudahan
Adakah gandingan mantap yang sentiasa mencemaskan lawan ini kekal menyarung jersi hitam putih musim depan?

KEMELUT tidak berkesudahan. Sementara menunggu 17 September untuk pengurusan membuat keputusan mengenai kedudukan pemain dalam pasukan Terengganu, pelbagai desas-desus dan khabar angin sudah bertiup dalam kalangan penyokong skuad Penyu, yang kini dibimbing Peter James Butler.

Terbaru, selepas isu dua pemain dikatakan tidak berdisiplin dan membawa teman wanita ke bilik hotel, diikuti kes penjaga gol yang dikatakan menjual perlawanan sehingga membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), kem Terengganu juga panas apabila dikhabarkan bakal kehilangan sembilan pemain pada musim depan.

Sudah heboh dalam laman sosial mengenai isu ini, malah beberapa nama sudah menjadi teka-teka bakal meninggalkan kem Terengganu musim depan.

Pemain ini dikatakan tonggak dan nadi kekuatan Terengganu. Sama ada mereka bakal berhijrah atau tidak disambung kontrak, kesannya tetap sama.

Terengganu bakal hilang separuh daripada anggota dalam pasukan yang selama satu musim pada tahun lalu, antara mereka inilah yang memerah keringat untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Darul Iman, dan antara mereka inilah yang turut berjuang di pentas final Piala Malaysia untuk muncul naib juara.

Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, bahawa beliau akan terlibat secara langsung dalam urusan pemilihan pemain, sambil memberitahu ramai pemain skuad Penyu bakal tersingkir, sekali lagi pastinya mengundang gundah peminat.

2012 mungkin musim yang suram buat Terengganu. Mungkin juga sudah cukup kitaran 360 darjah untuk Terengganu tiba ke tahap 'tepu'.

Jika diimbas kembali info ini, peminat boleh mengandaikan tahun ini sebagai sejarah 2002 berulang. 2001, Terengganu muncul Juara Piala Malaysia. 2002, pelbagai masalah mula melanda pasukan dan 2003, ramai pemain berhijrah.

Kini selepas 10 tahun; pada 2011, Terengganu muncul Juara Piala FA. 2012; masalah, kontroversi mula menghimpit kem Terengganu. 2013? Ramai yang takut atau tidak sanggup membuat andaian. Ada yang berpendapat, bagus juga dibuat 'pembersihan' dalam kem Terengganu kerana kita perlukan pemain yang benar-benar serius dan berdisiplin untuk jangka masa panjang.

Tapi pada masa sama, apa salahnya pengurusan juga dibuat pembaharuan dengan menampilkan muka-muka baru yang masih segar dengan idea untuk kemajuan pasukan.

Mungkin selepas itu pemain kita yang berhijrah sebelum ini, akan terbuka hati untuk memberi khidmat kepada skuad Penyu, sebelum menggantung but.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...