Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, August 27, 2012

Selangor belum panik


BALABAN (kanan) cuba mengekang pergerakan pemain Pahang, Mohd. Fauzi pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin.


PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih belum mahu menekan ‘butang’ panik biarpun ‘misi 33’ tampak semakin samar selepas seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk ‘mengibar bendera putih’ kerana aksi peringkat kumpulan baharu sahaja memasuki perlawanan kedua.

“Masih terlalu awal untuk mengaku kalah, saya percaya pemain akan bangkit dalam baki perlawanan selepas ini.

“Tahun lepas (semasa mengendalikan Terengganu), saya lihat Selangor juga ‘lambat panas’ dalam aksi awal kempen Piala Malaysia.

“Justeru, saya harap kami dapat memenangi kedua-dua perlawanan menentang T-Team sama ada di tempat lawan ataupun di gelanggang sendiri selepas ini bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan di belakang Pahang dan Sarawak,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan kelmarin, skuad Gergasi Merah ketinggalan menerusi jaringan penyerang pelawat, Maycon Calvalho seawal minit ke-14.

Begitupun, kelebihan skuad Tok Gajah tidak bertahan lama selepas arkitek Selangor, Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik dua minit kemudian.

Pahang kembali di depan apabila Mohd. Fauzi Roslan bijak memanfaatkan hantaran Maycon pada minit ke-24 sebelum Bosko Balaban menyelamatkan maruah Merah Kuning apabila bijak menyamakan kedudukan kira-kira 20 minit sebelum perlawanan tamat.

Untuk rekod, Selangor sebelum ini dikejutkan Sarawak dengan keputusan 1-2 dalam aksi pembuka tirai kumpulan di Stadium Kuching, Rabu minggu lalu.

Pahang pula berkongsi empat mata dengan Sarawak yang sekadar seri tanpa jaringan dengan T-Team dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang sedikit kecewa dengan kegagalan pasukannya menguasai jentera tengah kelmarin turut mengakui penyerang pinjaman, Rozaimi Abdul Rahman masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal Gergasi Merah.

“Saya percaya Rozaimi akan kembali bangkit dalam beberapa perlawanan lagi, jadi berikannya sedikit masa,” katanya yang turut memuji persembahan seorang lagi pemain pinjaman dari USM FC, S. Veenod.

Malam esok, Selangor akan berkunjung ke Kuala Terengganu menentang T-Team sementara Pahang akan melayan kunjungan Bujang Senang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...