Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, August 19, 2012

'FAM tidak amal sikap pilih kasih'


TAUFIK


KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dilihat menjatuhkan hukuman ‘tidak setimpal’ terhadap pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar, Khamis lalu jelas mengundang pertikaian beberapa pihak.

Ini kerana Ghaddar hanya digantung satu perlawanan dan didenda RM2,000 selepas didapati bersalah mengasari pemain pertahanan Selangor, Mohd. Bunyamin Umar pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 29 Jun lalu.

Selain Bunyamin yang didakwa telah menumbuk Ghaddar sebanyak dua kali, kapten Selangor, Mohd. Amri Yahyah juga didakwa melakukan kekasaran apabila memijak belakang pemain import tersebut dalam perlawanan itu.

Berbanding Ghaddar, skrip berbeza menyelubungi Bunyamin dan Amri yang akhirnya digantung tiga perlawanan serta denda RM1,500 setiap seorang selepas kedua-duanya mengaku salah atas kesalahan tiada semangat kesukanan dan berkelakuan ganas, 7 Oktober lalu.

Situasi itu menyebabkan FAM didakwa mengamalkan sikap ‘pilih kasih’, namun ia segera dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Razak.

“Tiada istilah ‘pilih kasih’ atau ‘lembut hati’ kerana setiap hukuman yang dijatuhkan berdasarkan peraturan yang termaktub dalam undang-undang FAM.

“Bagi kes Ghaddar, beliau didapati bersalah kerana memulakan ‘sentuhan fizikal’ terhadap Bunyamin.

“Namun, kekasaran itu dinilai dari sudut berbeza. Ghaddar (yang tidak mengaku bersalah) didapati bersalah kerana menggunakan fizikal terhadap pemain itu (Bunyamin).

“Ternyata tindakan Ghaddar tersebut tidak mencerminkan semangat kesukanan.

“Jadi, kami telah menilai semula dengan mengambil pendekatan ‘peruntukan istimewa’ yang mana tahap kekasaran Ghaddar itu lebih rendah,” jelas Taufik kepada Kosmo! Ahad.

Begitupun, kontroversi membabitkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini bukan sesuatu yang baharu.

Pada 4 April lalu, Tan Sri Annuar Musa hilang status sebagai Timbalan Presiden FAM dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan gara-gara digantung dua setengah tahun selepas didapati bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara.

Ia berdasarkan Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 apabila hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM yang boleh memberi komen.

Presiden Bola Sepak Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Setiausaha Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Khaidir Buyong begitupun hanya dikenakan amaran biarpun dilaporkan turut membuat tindakan yang sama selepas itu.

Taufik juga menegaskan, mana- mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak boleh mengemukakan bantahan berhubung apa-apa keputusan pihaknya.

“Ia keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, jadi ia tidak boleh dipertikai,” jelasnya.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...