Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, July 8, 2012

'Saya cuma anak kampung'

Rozaimi Abdul Rahman

KOTA KINABALU - "Seingat saya, pengalaman saya bermain bola sepak cuma di peringkat kampung-kampung saja, tidaklah hebat sangat tetapi saya punya semangat tinggi," kata bintang sensasi bola sepak negara, Rozaimi Abdul Rahman.

Nama Rozaimi tiba-tiba melonjak selepas meledakkan 10 gol dalam kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun di Myanmar, minggu lalu. Biarpun gagal membawa Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir, namun kelibat lincah bintang tengah ini berjaya mencuri tumpuan banyak pihak.

Terbaru, kelab Liga Perdana Thailand yang pernah muncul naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002, Bec Tero Sasana telah mengemukakan tawaran rasmi kepada pemain muda berusia 19 tahun itu.

Malah, terdapat spekulasi yang mengatakan Rozaimi turut memikat kelab dari Eropah.

"Saya memang meminati bola sepak sejak kecil tetapi tidak pernah terfikir untuk sampai sejauh ini.

"Saya memegang kepercayaan bahawa saya boleh buat yang terbaik. Syukur kerana dapat menterjemahkannya pada Piala Asia bawah 22 tahun,'' ujar Rozaimi lagi.

Penyerang kelahiran Bongawan, Sabah itu berkata, dia bersyukur kerana kariernya mendapat sokongan keluarga, terutama sewaktu mula menceburi sukan bola sepak pada 2009.

Akui Rozaimi, bapa dan abangnya adalah orang kuat yang sering memberi kata-kata semangat apabila dia mula diterima masuk ke dalam skuad Liga Simpanan Sabah semasa berumur 17 tahun.

Secara berseloroh, pemain yang bakal mencecah usia 20 tahun pada 6 Oktober ini mengakui, terpilih mewakili negara ibarat mimpi menjadi nyata.

Jelas Rozaimi, dia amat mengagumi bintang Sabah yang pernah membawa cabaran Malaysia seperti Hassan Sani dan Matlan Marjan.

Justeru, terbit sekelumit rasa bangga dalam diri apabila berjaya mengikut jejak mereka.

"Saya kurang pengalaman dalam bola sepak khususnya beraksi pada perlawanan besar di peringkat antarabangsa, jadi terpilih mewakili negara merupakan satu penghormatan buat saya,'' ujar Rozaimi.

Begitupun, Rozaimi mengakui kepercayaan dalam diri serta doa daripada keluarga adalah rahsia kecemerlangannya dalam penampilan pertama bersama skuad muda negara.

Dalam kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun, Rozaimi menjaringkan 10 gol.

Malangnya, jaringan penaltinya semasa menentang Myanmar gagal membantu Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir.

Dia menjaringkan empat gol ketika Malaysia membelasah Filipina 7-0. Anak kelima daripada lapan beradik itu kemudian menyumbat dua gol untuk membantu skuad negara menewaskan Taiwan 4-2 dan mencipta hatrik ketika kita membenam Vietnam 3-0.

Ditanya sama ada statusnya kini mengubah dirinya, Rozaimi berkata, dia lebih selesa merendah diri dan fokus terhadap bola sepak.

"Nasihat bapa supaya saya jangan besar kepala. Beliau berkali-kali mengingatkan saya perkara itu," kata pemain yang meminati bintang tengah Sepanyol dan Manchester City, David Silva itu.

Dalam pada itu, Rozaimi turut menyatakan minatnya untuk mengikut jejak langkah Nazmi Faiz dan Safee Sali yang bermain untuk kelab luar negara.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena