Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, June 22, 2012

QPR FC akan bertemu Red Warriors dan Sabah All Stars pada Julai

22 Jun 2012

SEPANG - Kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) merupakan pasukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kelantan dan Sabah bulan depan sebagai sebahagian daripada pra-musim Asia Tour kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif QPR Philip Beard berkata perlawanan menentang Kelantan akan diadakan di stadium Shah Alam pada 20 Julai manakala dengan pasukan Sabah Allstars di Kota Kinabalu pada 17 Julai.

"Kami akan membawa pemain kesebelasan pertama pada pertemuan itu. Ia satu penghormatan bagi QPR untuk datang dan bermain di Malaysia dan Indonesia bulan depan. Setiap orang di kelab itu sangat teruja mengenai lawatan ini.

"Kami berharap ia akan membolehkan peminat kami di Asia menyaksikan pasukan kami beraksi. Ini merupakan langkah yang besar bagi QPR untuk datang dan bermain di Asia dan kami berharap ini merupakan peluang pertama bagi lebih banyak peluang yang akan datang," katanya kepada pemberita mengenai pengumuman QPR Asia Tour di Akademi Air Asia di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Komersial Kumpulan Air Asia Kathleen Tan, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak.

QPR atau lebih diknali sebagai 'Hoops' dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia Tan Sri Tony Fernandes.

Semasa Asia Tour, pasukan itu akan berada di tiga bandar raya - Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Surabaya ( Indonesia). Pasukan itu dijadual bermain menentang Persebaya FC di Surabaya pada 23 Julai.

Sementara itu, Beard berkata semasa lawatan itu, pasukan itu akan mencuba mencungkil bakat baru di Asia dan percaya pertemuan dengan Kelantan akan menjadi satu perlawanan yang menarik.

"Kami benar-benar mahu mengadakan latihan dengan bakat muda Malaysia. Saya akan meluangkan lebih banyak masa dengan pengerusi kelab Tan Sri Tony Fernandes untuk mencari bakat muda," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata perlawanan bersama QPR adalah persediaan pemanas badan untuk barisan utama Kelantan bagi menghadapi perlawanan Piala AFC menentang kelab dari Iraq, Arbil FC pada 18 Sept di negara itu dan 25 September di Kelantan.

"Satu penghormatan buat Kelantan apabila berpeluang bermain dengan pemain peringkat tinggi. Ini adalah persiapan untuk mereka (pemain). Mungkin membantu mereka supaya tidak berasa rendah diri ketika di padang," katanya.

Baru-baru ini dua kelab EPL - Arsenal dan Manchester City - memasukkan Malaysia dalam Asia Tour mereka. Arsenal dan juara EPL Manchester City akan mengadakan perlawanan
persahabatan dengan skuad senior Malaysia yang dilatih Datuk K.Rajagobal.

Arsenal akan bermain pada 24 Julai manakala Manchester City pada 30 Julai dan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di stadium Shah Alam. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...