Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, June 3, 2012

Cuma perlawanan persahabatan?

REAKSI kecewa ditunjukkan bintang penyerang negara, Mohd. Safee Sali selepas Malaysia sekadar seri 0-0 dengan Filipina di Stadium Shah Alam, semalam.

KUALA LUMPUR - "Tiada apa untuk dirisaukan, ini bukannya pertandingan. Perlawanan persahabatan adalah perlawanan persahabatan, apa tujuan perlawanan persahabatan, kamu patut tahu,'' itu reaksi jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal selepas melihat Malaysia gagal menumpaskan Filipina di Stadium Shah Alam kelmarin.

Ketumpulan jentera serangan Harimau Malaya menembusi benteng lawan biarpun melancarkan serangan bertali arus sedikit pun tidak menggusarkan Rajagobal, sebaliknya beliau lebih gemar melihat aspek positif, iaitu mutu persembahan keseluruhan yang dipamerkan anak-anak buahnya.

Tegas Rajagobal lagi, apa yang mustahak mengenai aksi persahabatan antarabangsa bukanlah keputusannya semata-mata, sebaliknya ia menjadi pentas untuk menguji prestasi keseluruhan pemain.

"Memang benar kita berpeluang untuk memenangi perlawanan ini, Kita mensia-siakan 15 hingga 16 peluang jaringan dan memang patut memenanginya.

"Kamu perlu melihatnya secara positif, kami berjaya menangani sebuah pasukan yang amat kuat secara fizikal, malah dapat juga mempamerkan kombinasi permainan mantap.

"Jadi, lebih baik kita melihatnya secara positif daripada yang negatif. Dalam proses (persiapan menghadapi misi mempertahankan Piala AFF Suzuki, November ini) itu, saya nak beritahu bahawa kita akan memperolehi pelbagai keputusan.

"Ada masa menang dengan jaringan besar, ada masa kita seri dan ada masa kita akan kalah. Sebagai jurulatih, saya mahu tengok keseluruhannya.

"Lihatlah pasukan-pasukan pilihan yang membuat persiapan Euro 2012, mereka juga memerlukan masa untuk mendapatkan momentum, jurulatih dan pengurus mereka juga tak berapa risau," ujar Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.

Untuk rekod, Malaysia yang tugasan antarabangsa seterusnya bertemu Singapura pada 8 dan 12 Jun ini, telah mencatat empat kemenangan dan tiga seri dalam kesemua tujuh aksi persahabatan setakat ini.

Malaysia menewaskan Kelantan 5-0, Sabah (1-0), Filipina (1-1), Sarawak (1-1), Sri Lanka 6-0) dan Felda United (2-1).

Rajagobal juga gembira dan memuji kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemainnya dalam usaha merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.

"Ia mewujudkan persaingan sihat antara mereka dan memberikan saya lebih banyak pilihan. Masih ada lagi pemain yang baik dan belum saya panggil seperti Khyril Muhymeen (Zambri), Badrol (Bakhtiar), Fakri (Shaarani), Hazwan (Bakri) dan Muslim (Ahmad)," jelasnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...